Tuesday, March 11, 2008
Berita yang tak dapat masuk Harakah (5)
KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Rakyat tidak lagi melihat Umno sebagai wakil orang-orang Melayu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurut beliau, akibat kekalahan memeranjatkan di negeri-negeri yang menjadi pusat penduduk Melayu seperti Kedah dan Kelantan dalam pilihan raya umum Sabtu lalu, rakyat kini berkata Umno telah kehilangan legitimasi untuk mewakili orang-orang Melayu.
"Parti-parti komponen BN yang lain (juga) telah hilang peranan kepimpinan mereka sebagai wakil bangsa-bangsa utama yang lain di negara ini," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam kenyataannya semalam.
Beliau menasihatkan Barisan Nasional (BN) supaya memulakan proses pemulihannya dengan menerima hakikat kebenaran dan tanggungjawab ke atas melapetaka yang menimpa parti itu.
"Pasukan kepimpinan mesti bangkit dari tidur," kata beliau.
Penentuan masa hadapan BN di kalangan rakyat, katanya, ialah kejujuran mentafsirkan keputusan pilihan raya itu dan ketegasan untuk bertindak.
"Ini adalah krisis yang bersejarah, dan kita mesti menghadapinya tanpa meneruskan penafian, menipu diri sendiri atau putar belit media," kata beliau yang menjadi Ahli Parlimen sejak 1974 itu.
BN, katanya lagi, menghadapi tempoh serba tidak pasti yang tidak pernah dihadapinya.
Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat itu mengingatkan, kedudukan BN dan Umno yang beliau sifatkan sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembangunan sejak merdeka kini dipersoalkan.
Other blogs updates (updates blog-blog Bahasa Melayu lain di sidebar blog ini)
Berita-berita terkini di bawah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI