Adnan jumpa PM bincang barisan Exco kerajaan negeri
BENTONG 9 Mac - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bagi membincangkan pembentukan barisan Exco kerajaan negeri.
Adnan ketika ditemui di sini berkata, beliau juga akan menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi mendapatkan perkenan sebelum membuat sebarang pengumuman berhubung pembentukan kerajaan negeri itu.
''Kita akan membentuk kerajaan secepat mungkin tetapi kita belum tahu siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri kerana keputusannya terletak di tangan Perdana Menteri dan baginda Sultan Pahang,'' katanya.
Beliau mengulas kejayaan BN negeri yang memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berjaya membentuk kerajaan negeri setelah diberikan madat melebihi dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam.
Pada pilihan raya itu juga, Adnan mempertahankan kerusi DUN Pelangai selepas mendapat 5,406 undi dengan menewaskan calon Pas, Hamdan Ahmad yang memperoleh 2,436 undi dengan majoriti 2,970 undi.
Bagaimanapun keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan kegagalan BN Pahang menyapu bersih semua kerusi DUN, sebaliknya terus gagal menawan kerusi Triang yang dimenangi oleh calon DAP, Leong Ngah-Ngah.
Di samping itu, BN Pahang terlepas empat kerusi DUN iaitu Tanah Rata, Kuala Semantan, Tras dan Beserah.
BN Pahang turut kehilangan dua kerusi Parlimen dengan menyaksikan kekalahan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh dan kerusi Indera Mahkota apabila calonnya daripada UMNO, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman tewas kepada calon PKR, Azan Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI