Tuesday, March 11, 2008
Berita yang tak dapat masuk Harakah (4)
KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti berundur kerana terbukti beliau kini menjadi ancaman kepada ekonomi negara apabila indeks saham merudum sehingga 130 mata dalam masa tidak sampai sehari.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mengingatkan Abdullah supaya jangan meletakkan kepentingan sendiri melebihi kepentingan negara.
"Pak Lah lebih sayangkan kuasanya dari kepentingan negara," kata beliau ketika berucap dalam ceramah perdana meraikan kemenangan PAS di Kedah, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
Ketika dihubungi selepas ceramahnya, Mahfuz menggesa rakyat meneruskan tindakan untuk memastikan Abdullah berundur.
"Sebenarnya indeks saham belum merudum ke tahap begitu teruk selepas keputusan pilihan raya umum Sabtu lalu.
"Indeks saham sebenarnya merudum selepas Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya.
Dalam ucapannya, Mahfuz juga menggesa Abdullah berundur dan memberikan mandat kepada kerajaan yang dibentuk melalui kombinasi semua pihak.
"Ahli-ahli Parlimen dari Umno dan Barisan Nasional mesti membuat pilihan. Mementing dan mempertahankan kepentingan Abdullah dan kepentingan mereka sendiri atau (bertindak) menyelamatkan negara," katanya.
Jika mereka tidak membuat pilihan yang tepat, katanya lagi, rakyat akan menyumpah mereka.
Mahfuz berkata, Abdullah sepatutnya merasa malu kepada Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti Gerakan berikutan kekalahan besar parti itu dalam pilihan raya umum ini.
Rakyat, katanya lagi, tidak boleh membiarkan Abdullah terus menjadi ancaman kepada ekonomi negara.
Tidak lama selepas Abdullah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam, untuk pertama kali sejak langkah 'Penampan Kejatuhan' atau 'Circuit Breaker' diperkenalkan 10 tahun lalu, Bursa Malaysia menggantung urusniaga saham selama sejam ekoran kejatuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang mencecah had 10 peratus.
Urusniaga tersebut digantung pada jam 2.58 petang selepas KLCI merekod kejatuhan sebanyak 130.01 mata atau 10.03 peratus untuk berada di paras 1,162.32 mata, kali pertama KLCI susut lebih 10 peratus dalam tempoh tidak sampai satu hari sehingga mencatat kerugian terbesar dalam sehari sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Berita-berita terkini di bawah
Pakailah t-shirt Bersih atau baju kuning setiap Sabtu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI