Pengurus nafi Raja Pop mati kerana jantung
LOS ANGELES - Pengurus Michael Jackson iaitu Dr. Tohme Tohme (gambar) menyatakan dia menolak dakwaan bahawa penyanyi itu meninggal dunia kerana diserang penyakit jantung.
"Dia (Michael) tidak mempunyai masalah dengan jantung. Seorang lelaki yang menari selama empat jam sehari diserang penyakit jantung?
"Saya akan diserang penyakit jantung sebelum dia (Michael) diserang sakit jantung," katanya kepada sebuah akhbar kelmarin.
Menurut Dr. Tohme, Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika masih hidup kelihatan lebih yakin pada dirinya kerana dia mahu membuat konsert di London.
"Lawatan untuk pergi ke London mengubah dirinya. Ia memberikan keyakinan diri kepadanya. saya tidak pernah melihat keyakinan diri itu sebelum ini. Dia mempunyai harapan yang tinggi," katanya.
Dr. Tohme merupakan seorang ahli perniagaan keturunan Lebanon dan berada bersama keluarga Jacko ketika dia dihantar ke Pusat Perubatan UCLA di sini setelah degupan jantungnya terhenti.
Dia menjadi rakan kepada keluarga penyanyi itu dua tahun lalu selepas diberikan tugas untuk membantu Jacko menyelamatkan hak milik rumah Neverland Ranch kerana masalah kewangan.
Dr. Tohme menyatakan beberapa hari sebelum Jacko meninggal dunia pada 25 Jun lalu, dia memberi amaran kepada penyanyi itu berhubung kehilangan berat badannya.
Dia berkata: "Saya bercakap dengannya pada hari Rabu sehari sebelum kematiannya. Saya memberitahunya bahawa dia kelihatan terlalu kurus. Dia kehilangan berat badan.
"Namun, dia bekerja keras. Dia menari selama empat jam sehari. Jacko menyatakan dia berada dalam keadaan baik."
Setakat ini punca kematian Raja Pop itu tidak diketahui kerana keputusan bedah siasat kedua masih belum didedahkan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI