PKR dakwa provokasi media punca menang
KUALA LUMPUR 9 Mac - Provokasi melampau oleh media massa terhadap parti pembangkang sepanjang 13 hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 didakwa menjadi punca utama yang menyumbang kepada kemenangan luar jangkaan kepada parti tersebut.
Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mendakwa, pendekatan media itu didapati memberi kelebihan kepada parti pembangkang kerana ia telah mewujudkan perasaan simpati di kalangan pengundi.
Menurutnya, semakin banyak provokasi yang dilakukan oleh media, semakin ramai yang menyokong parti pembangkang dan sokongan itu dapat dilihat pada saat-saat akhir berkempen.
"Kalau sesekali (provokasi) orang boleh terima tetapi sekiranya terlalu kerap, perasaan benci akan bertukar kepada simpati.
"Inilah kesilapan yang dilakukan oleh jentera Barisan Nasional yang memberi keuntungan kepada parti pembangkang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan media itu telah menyebabkan calon-calon BN leka, selesa dan berasa yakin akan memperoleh kemenangan mudah berbanding parti pembangkang yang bertungkus-lumus menangkis provokasi terhadapnya.
Mohamed Azmin berkata, provokasi yang dilakukan oleh media pada pilihan raya kali ini adalah yang paling dahsyat berbanding pilihan raya sebelum ini.
"Namun pengalaman tahun ini amat bermakna buat kami kerana kami tahu rakyat sekarang tidak boleh menerima kempen yang terlampau agresif," tambah beliau.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang memenangi kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, penguasaan parti pembangkang pada pilihan raya ini memang sudah dijangkakan.
Tambah beliau, kekuatan parti pembangkang adalah melalui isu-isu yang membelenggu rakyat terutama kenaikan harga minyak dan barang-barang serta peningkatan jenayah.
"Nampaknya isu-isu yang kami perjuangkan menepati mood rakyat," tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI