09 Mac, 2008 21:37 PM |
Perlis Tawar Bantuan Untuk Pulih Kelemahan BN
KANGAR, 9 Mac (Bernama) -- Kelemahan Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan kemenangan pembangkang di lima buah negeri pada pilihan raya umum semalam mendorong BN Perlis menawarkan bantuan bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap pakatan pemerintah itu.
Pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata hari ini, BN perlu dibina semula dengan semangat dan keyakinan baru bagi memastikan ia terus menguasai pemerintahan negara.
Menteri Besar Perlis itu berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak tundukan dengan mana-mana desakan sebaliknya terus memimpin negara dengan penuh ketabahan.
Katanya negara masih memerlukan kepimpinan Abdullah apatah lagi dalam usaha memulihkan semula keyakinan masyarakat terhadap BN.
Mengulas pencapaian BN Perlis yang memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum itu, beliau berharap resipi kejayaan itu boleh dikongsi dengan negeri-negeri lain.
Shahidan berkata antara yang perlu dilakukan ialah memastikan jentera pilihan raya BN digerakkan sepanjang masa dan tidak menunggu musim pilihan raya semata-mata.
Beliau tidak mahu mana-mana pihak mengganggu perpaduan di kalangan parti komponen BN sehingga menampakkan perpecahan yang merugikan.
Katanya, jentera BN di Perlis kuat kerana kepimpinan barisan itu itu mengutamakan kebajikan rakyat termasuk ibu tunggal, golongan miskin dan daif serta anak-anak yatim.
Kekuatan BN pula dibantu oleh sokongan kuat mereka yang pernah menerima sumbangan kebajikan dari parti pemerintah, katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI