Posted on Saturday, March 15 @ 18:57:34 MYT by SongkokPutih
Oleh MEGAT AYUB MEGAT ALANG
JABATAN Pilihan Raya (JPN) PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang atas selesainya kemelut perlantikan Menteri Besar dari PAS, Ir. Mohd Nizar Jamaluddin, Adun Pasir Panjang, Lumut.
Demikian kenyataan ringkas Timbalan Pengarah JPN Wilayah, Tarmizi Mohd Jam kepada media alternatif pagi tadi.
Beliau yang juga mantan calon PAS Dun Bota (1995) berharap tiada "gangguan" politik dari kalangan pakatan kerajaan campuran selepas ini, bagi membuktikan kepada rakyat bahawa PAS-DAP-PKR berupaya memikul tanggungjawab yang digalas atas nama kerajaan di negeri Perak.
Ketokohan dan kewibawaan YB. Ir. Mohd Nizar Jamaluddin, tegasnya sudah pasti mampu untuk menampilkan PAS sebagai sebuah parti yang toleran, bertanggungjawab dan konsisten dengan perjuangan nasib rakyat.
Ir. Nizar, ujarnya yang mempunyai pelbagai kelebihan, dipercayai akan menjadi Menteri Besar yang paling popular di kalangan rakyat negeri Perak berbanding Menteri-Menteri Besar dari BN selama ini.
Tegas Tarmizi dalam kenyataan itu, selain boleh berbahasa Cina, Tamil dan Inggeris, Ir. Nizar juga boleh mengajar kitab, menyampaikan kuliyyah agama, berkhutbah di mimbar masjid dan paling penting memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran.
Tarmizi yang pernah menjadi Setiausaha Penerangan PAS Perak dan Pengarang Lidah Rasmi PAS "Al-Ridhwan" menyifatkan takdir Allah dengan kemenangan sedemikian rupa di Perak bukan sahaja mengangkat Ir. Nizar sebagai Menteri Besar tetapi sekaligus akan memperkasakan PAS negeri itu pada masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI