Polis sedia bekerjasama dengan kerajaan baru 4 negeri
KUALA LUMPUR 9 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada kerajaan baru di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang walaupun negeri terbabit kini diperintah parti pembangkang.
Sambil menyifatkan kemenangan parti-parti itu sebagai kehendak rakyat, beliau berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada kerajaan-kerajaan negeri itu sama seperti yang dilakukan di Kelantan sejak negeri itu diperintah Pas pada 1990.
Pada masa sama, beliau meminta rakyat supaya sentiasa bertenang dan menerima baik keputusan pilihan raya umum semalam supaya peralihan kuasa di lima negeri terbabit dapat dijalankan dengan teratur mengikut prosedur serta undang-undang.
"Ini adalah kehendak rakyat, kita akur kehendak rakyat. Saya harap kerajaan akan dapat ditubuhkan supaya negara ini dapat dipimpin dengan baik dan menjadi sebuah negara yang lebih baik.
"Di lima negeri terbabit, kita akan beri kerjasama... sama seperti di Kelantan yang diperintah Pas sebegitu lama.
"Sebagai pasukan keselamatan, kita tidak menyebelahi mana-mana parti serta adil kepada rakyat, kita menjaga keamanan serta menentukan keselamatan rakyat," kata Musa pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengenai kemungkinan rakyat memberi kemenangan kepada ramai pemimpin pembangkang disebabkan terpengaruh kempen agresif parti terbabit yang menggunakan isu kegagalan polis menangani jenayah, Musa berkata:
"Polis sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan kita, banyak perancangan yang telah dicadangkan untuk membaiki pasukan polis.
"Kita akan sentiasa bertungkus-lumus selepas ini untuk menentukan masyarakat selamat termasuk dengan tindak tegas terhadap penjenayah."
Mengulas kemungkinan polis dipersalahkan atas kebangkitan parti-parti pembangkang dalam pilihan raya umum kali ini, beliau menjelaskan:
"Saya rasa polis telah bertindak adil menguatkuasakan undang-undang, ini selari dengan nasihat saya kepada semua pegawai bahawa dalam apa keadaan sekalipun kita perlu bertindak tegas, adil dan berhemah."
Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan ekoran desakan parti-parti pembangkang, Musa memberitahu:
"Itu bukan bidang kuasa saya, itu saya letakkan kepada pihak kerajaan (yang memerintah)."
Beliau turut menjelaskan, semua cadangan memantapkan pasukan polis yang dirancang sebelum ini akan diteruskan walaupun Barisan Nasional (BN) gagal mendapat majoriti dua pertiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI