Menteri dan Timbalan Menteri Penerangan kalah
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin dan timbalannya, Datuk Seri Chia Kwang Chye, kalah dalam pilihan raya umum ke-12 semalam.
Zainuddin, yang memenangi kerusi Parlimen Merbok pada pilihan raya umum 2004, ditewaskan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johari Abdul dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Petani di Kedah.
Johari menang dengan majoriti 9,381 undi setelah mendapat 33,822 undi berbanding Zainuddin yang meraih 24,441 undi.
Chia pula dihanyutkan arus DAP yang menyapu bersih kerusi yang ditandingi mereka di Pulau Pinang, tewas kepada calon parti itu, Liew Chin Tong bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera.
Liew mendapat 31,243 undi berbanding Chia yang memperoleh 15,131 undi, memberikan pembangkang majoriti 16,122 undi.
Bagaimanapun, seorang lagi timbalan menteri berkenaan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datoh apabila menewaskan Mazdi Hassan daripada PKR setelah memperoleh 13,115 undi berbanding lawannya yang mendapat 10,423 undi.
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon, berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Osman Sabran dengan majoriti 5,009 undi. Noriah meraih 16,069 undi sementara Osman mendapat 11,060 undi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI