Permatang Pauh akan ada pilihan raya kecil?
BUKIT MERTAJAM 9 Mac - Parlimen Permatang Pauh bakal berhadapan dengan satu lagi pilihan raya tidak lama lagi.
Itulah yang dibayangkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas beliau berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu semalam.
Ia berikutan kesediaan beliau untuk meneruskan hasrat mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam satu pilihan raya kecil.
Wan Azizah yang ditemui sejurus diumumkan pemenang kerusi Parlimen Permatang Pauh semalam berkata, beliau bersedia mengosongkan kerusi tersebut pada bila-bila masa sahaja termasuk dalam tempoh terdekat.
"Ya, kalau mendapat sokongan daripada akar umbi, saya sentiasa bersedia mengosongkan kerusi itu pada bila-bila masa sahaja untuk meneruskan rancangan asal kami," katanya.
Wan Azizah pada hari penamaan calon, 24 Februari lalu secara terbuka menyatakan hasrat untuk mengosongkan kerusi tersebut jika berjaya memenanginya dalam pilihan raya kali ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dalam reaksinya sebelum ini menyifatkan tindakan Wan Azizah itu sebagai belum pernah berlaku dalam sejarah.
Ab. Rashid bagaimanapun mengesahkan, SPR boleh menjalankan semula pilihan raya jika seseorang calon ingin meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI