Guan Eng angkat sumpah Selasa ini
PULAU PINANG 9 Mac — Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru pada hari Selasa ini.
DAP yang memenangi 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, mengadakan pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membolehkan ia membentuk kerajaan negeri, selepas jumlah DUN yang dimenangi kedua-dua parti itu melebihi dua pertiga majoriti.
PKR memenangi sembilan daripada 16 DUN yang ditandingi, manakala PAS mengekalkan kerusi Permatang Pasir, dan kalah di empat lagi kerusi DUN.
Semalam ketua PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, parti PKR bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan juga bersetuju dengan pelantikan Lim sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang Baru.
Lim dalam persidangan akhbarnya di sebuah hotel di sini pagi ini berkata, DAP akan bekerjasama dengan lain-lain parti pembangkang bagi membentuk kerajaan di Pulau Pinang dan lain-lain negeri.
Lim juga berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang DAP-PKR akan membangunkan dasar-dasar yang mesra pelaburan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai wilayah industri dan perkilangan tersohor, di samping meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan dalam pelaksanaan pembangunan atau kajian semula sebarang projek, mahupun dasar-dasarnya.
“Kami berhasrat memastikan pelabur-pelabur asing dan tempatan faham bahawa kami sedar betapa pentingnya sumbangan besar mereka terhadap ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan, dialog dan rundingan dengan pihak industri, perdagangan, serta industri kecil dan sederhana sebaik sahaja mengambil alih kerajaan negeri.
“Sektor perkilangan merangkumi kira-kira 42 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 200,000 pekerja, dengan separuh darinya adalah dalam sektor elektronik,” tambahnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI