Posted on Thursday, March 13 @ 10:28:39 MYT by greenboc
Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham Ngeh berkata,Menteri Besar dari keturunan Melayu akan mendorong kakitangan awam berkenaan bertugas dengan sepenuh hati.
Pelantikan wakil Pas sebagai Menteri Besar, sedangkan parti itu hanya memenangi enam kerusi DUN, Ngeh berkata perkara itu diperkenankan Raja Dr Nazrin Shah untuk melicinkan sistem penyampaian kerajaan negeri kerana kebanyakan kakitangan awam dari keturunan Melayu.
"Menteri Besar akan menamakan barisan Exco dan portfolio lain yang juga akan disandang kedua-dua Timbalan Menteri Besar," katanya.
Beliau akan berbincang dengan Mohammad Nizar dan wakil rakyat lain mengenai pelantikan Exco kerana jawatan itu membabitkan banyak portfolio.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama bakal Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin selepas mengadap Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah, semalam.
Pada sidang media yang sama yang turut dihadiri Pengerusi PKR Perak, Zulkifly Ibrahim dan Setiausaha DAP Perak yang memenangi DUN Pantai Remis, Nga Kor Ming, Mohamad Nizar berkata,
"Saya harap dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Muda, saudara (media) memberi maklumat kepada rakyat supaya mereka faham tiada lagi rasa sangsi, tiada lagi rasa bimbang dengan kerajaan yang dipilih rakyat.
"Perubahan kepada kerajaan campuran ini adalah perubahan yang sempurna, perubahan yang licin dan perubahan yang tidak memberi apa-apa tekanan kepada masyarakat."
Beliau berkata, kerajaan campuran Barisan Alternatif (BA) dan DAP akan melaksanakan dasar memberi kebaikan kepada rakyat kerana keputusan yang hendak dibuat kerajaan adalah keputusan bersama.
"Kita mengambil kira rakyat berbilang kaum, iaitu Cina dan India dengan jawatan Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar 2 dari kaum Cina dan India.
"Kita ingin memberitahu rakyat Perak supaya mereka tidak berasa risau dan tidak rasa bimbang kerana ini adalah kerajaan rakyat yang merangkumi dan mewakili semua kaum terbesar di negeri ini," katanya.
Mohammad Nizar berkata, senarai nama Timbalan Menteri Besar 2 dan barisan Exco negeri akan diumumkan selepas majlis angkat sumpah, petang ini.
Adun kawasan Hutan Melintang, S Kesavan - satu-satunya wakil India daripada PKR yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, dijangka dinamakan sebagai Timbalan Menteri Besar 2.
ditulis oleh Wan Nordin Wan Yaakob
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI