Kosmo
LOS ANGELES - Jenazah Raja Pop, Michael Jackson dipindahkan dari pejabat koroner di sini dan dibawa ke sebuah rumah mayat persendirian ketika keluarganya melakukan persiapan pengebumian penyanyi itu, lapor sebuah akhbar semalam.
"Jenazah Michael dibawa ke satu lokasi rahsia atas permintaan keluarganya. Saya tidak dibenar mendedahkannya," kata Timbalan Ketua Koroner Daerah Los Angeles, Ed Winter.
"Kami masih menunggu laporan ujian keracunan dan beberapa laporan lain," tambahnya.
Bedah siasat mendapati, penyanyi itu meninggal dunia bukan kerana perbuatan khianat tetapi pihak koroner hanya akan mendedahkan punca kematian Michael selewat-lewatnya lapan minggu lagi selepas semua ujian lanjut dilakukan.
Sebelum dibedah siasat, Michael yang mesra dengan panggilan Jacko didapati meninggal dunia kerana jantungnya berhenti berdegup.
Bagaimanapun, keluarga Michael mahu satu bedah siasat lain dilakukan ekoran kematiannya pada Khamis lalu menimbulkan pelbagai persoalan seperti bagaimana dia meninggal dunia dan doktor yang berada bersamanya ketika itu.
Sejurus selepas kematiannya, dakwaan bahawa Michael mengambil pelbagai ubat penahan sakit tersebar luas, manakala beberapa doktor yang melakukan bedah siasat ke atas jenazahnya mengakui penyanyi itu mengambil pelbagai ubat.
Sementara itu, polis memanggil doktor peribadi Mi- chael, Conrad Robert Murray untuk disoal siasat selepas dia didapati berada bersama Jacko ketika penyanyi itu mengalami serangan jantung pada Khamis lepas.
Murray turut disiasat susulan beberapa dakwaan penyanyi terhebat sepanjang zaman itu disuntik setiap hari dengan ubat penahan sakit Demorol.
Bagaimanapun, jurucakap doktor itu, Miranda Sevcik berkata, Conrad bukan lagi suspek tetapi kekal sebagai saksi kejadian kematian Michael.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI