Kerajaan Pas Kedah jadikan Kelantan contoh
ALOR STAR 9 Mac - Menteri Besar Kedah yang baru, Azizan Abdul Razak berkata, Pas Kedah akan memerintah negeri ini mengikut acuan mereka sendiri tetapi akan menjadikan kerajaan Kelantan sebagai contoh.
Azizan yang dilantik menjadi Menteri Besar selepas Pas menawan Kedah pada pilihan raya umum semalam berkata, pelantikan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) akan dibuat dalam tempoh terdekat supaya kerajaan Pas dapat dibentuk secepat mungkin di negeri ini.
Setakat ini, kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, hanya beliau telah dilantik secara rasmi sebagai ketua kerajaan manakala barisan exco akan ditentukan selepas perbincangan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pusat.
"Kita akan berunding dengan rakan-rakan kita dari PKR dan kemudian dapatkan pengesahan daripada pimpinan Pas pusat sebelum melantik ahli-ahli exco. Kita juga akan bincang beberapa perkara sama ada perlu ditambah atau dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang kesembilan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Wisma Darul Aman petang ini.
Menurut beliau, anggota exco akan dilantik berdasarkan beberapa kriteria termasuk latar belakang, keupayaan, kesungguhan dan pengalaman yang dimiliki mereka.
Menyentuh mengenai manifesto Pas Kedah, Azizan berkata, ia akan cuba dilaksanakan semaksimum mungkin dengan mengutamakan perkara-perkara yang penting untuk dilakukan dahulu.
Kata beliau, kerajaan negeri akan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat negeri ini tanpa meminggirkan semua kaum tetapi memerlukan masa untuk mengkaji pelaksanaannya.
Beliau berkata, Pas juga akan cuba menjadikan Kedah sebagai negeri kebajikan tetapi dalam konteks mereka sendiri memandangkan konsep negara kebajikan merupakan manifesto Pas pusat.
Ditanya mengenai projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilaksanakan kerajaan Pusat di negeri ini, Azizan yang merupakan bekas pensyarah berkata, pihaknya perlu melihat dan memahami rangka pelaksanaannya dahulu.
Katanya lagi, kerajaan Pas Kedah akan menyambung projek-projek yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan memberi keutamaan kepada rancangan yang boleh menguntungkan penduduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI