Timbalan KM mahu rakyat ikut pedoman Nabi Muhammad |
Mohd Sabri Said� Fri | Mar 21, 08 | 10:09:10 am MYT | |
SEBERANG JAYA, 21 Mac (Hrkh) -�Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohd Fairuz Khairuddin mahukan generasi Pulau Mutiara dihormati dunia dalam apa jua lapangan yang diceburi asalkan sikap amanah dan telus menjadi pegangan untuk membina jatidiri. Berucap sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang diadakan di Tapak Ekspo, Seberang Jaya semalam tadi beliau menambah, apa yang ditanamkan dalam jiwa Rasullulah s.a.w sememangnya baik untuk pendoman bukan sahaja umat Islam bahkan bukan Islam. "Jika mahukan generasi Pulau Mutiara dihormati orang termasuk dunia luar kita perlu kembali kepada 'Generasi Al-Amin' yang tidak mempunyai batasan bangsa kerana sikap itu boleh memupuk menjadi manusia yang berhati mulia dan disanjungi, " terangnya di hadapan ribuan hadirin yang mendengar amanat pertamanya setelah berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Pulau Pinang baru-baru ini. Katanya, oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah peruntukan kepada guru-guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) sebagai usaha menambah keyakinan guru untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi manusia yang bermoral. Bukan sahaja guru agama Islam perlu ditekankan malahan guru-guru agama lain turut memainkan peranan yang lebih efektif bagi menjana berbagai kaedah demi memastikan generasi muda berakhlak mulia. Tidak kira sambungnya, orang Cina, Melayu atau India semuanya wajar bekerjasama menjamin perpaduan negara di samping meningkatkan sosoi ekonomi masing-masing berteraskan sikap amanah yang tinggi. "Bila bekerja dengan amanah apa bangsa sekali pun ia secara langsung boleh meningkatkan pendapatan dan menjamin hidup dalam keadaan aman dan makmur, " jelasnya. Bagi menyemai sikap amanah berterusan maka Maulidur Rasul kali ini diimarahkan di semua masjid, surau, pejabat dan sebagainya kerana selain melahirkan generasi Al-Amin dapat juga memberi pengajaran kepada kepimpinan institusi masjid, surau mahupun pejabat supaya melatih diri ke arah lebih beramanah serta dapat pula melahirkan umat yang mukhlisin. Menyentuh mengenai kebimbangan sesetengah pihak kononya Islam bakal terhakis di Pulau Pinang setelah DAP memerintah beliau menegaskan, jangan percayakan khabar angin sebaliknya beliau yang dipertanggungjawabkan menjagai kepentingan Islam akan memastikan Syiar Islam terus menyinar. Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri katanya, memberi sokongan untuk kesejahteraan Islam tidak pula bertindak menyekat mahupun menghalang. "Jika beliau menghalang maka beliau tidak akan hadir ke Majlis Maulidur Rasul yang diadakan hari ini. Sekurang-kurangnya beliau dapat memaham sirah perjuangan Rasullulah s.a.w yang mempunyai perwatakan kepimpinan untuk semua umat manusia, " terang Mohd Fairuz lagi. Hadir sama dalam program bertemakan 'Menjana Ummah Gemilang' ialah Tun Yang Terutama (TYT), Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Speker Dun Pulau Pinang, Dato' Seri Yahya Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jamaluddin Hasan, Mufti Kerajaan Negeri, Dato' Haji Hasan Haji Ahmad serta kepimpinan negeri dan Ketua-Ketua Jabatan seluruh Pulau Pinang. Perarakan yang bermula di Masjid Jamek Seberang Jaya berakhir di tapak Ekspo turun menyajikan persembahan nasyid Kumpulan In-Team dan ceramah agama oleh penceramah dari Univesiti Islam Antarabangsa (UIA), Haji Wan Shohor Bani Leman. Selain dari memberikan anugerah kepada peserta kontinjen yang menang, Haji Said Shaaban diistihar sebagai tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri. Semua augerah itu disampaikan oleh TYT Dato' Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas. - mr |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI