Posted on Wednesday, March 19 @ 12:28:33 MYT by greenboc
Oleh malaysiakini
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz akan mengadakan sidang akhbar khas di tengah-tengah spekulasi beliau akan melepaskan jawatan ketua Wanita Umno.
Rafidah yang memenangi kerusi parlimen Kuala Kangar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, tidak dilantik semula menganggotai barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi semalam.
Rafidah, 65, menganggotai kabinet sejak tahun 1986. Abdullah melantik naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kementerian berkenaan.
Beliau dijangka mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Wanita Umno dalam sidang akhbar yang akan diadakan di pejabatnya pada jam 2.30 petang nanti.
Selaku ketua Wanita Umno, Rafidah juga merupakan ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
Pagi ini, Datuk Radzi Sheikh Ahmad - yang juga tidak dilantik semula menganggotai kabinet - telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha agung Umno dan BN berkuatkuasa serta-merta.
Abdullah telah menerima peletakan jawatan Radzi.
Naib ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang gagal mempertahankan kerusi parlimen Lembah Pantai, telah dilantik sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Abdullah dalam hal ehwal wanita.
Para penyokong Rafidah berkumpul ke kediaman perdana menteri di Putrajaya malam tadi kerana membantah pengguguran Rafidah daripada kabinet, walaupun beliau merupakan ketua Wanita Umno.
Rafidah memegang jawatan tersebut pada 1984 - kecuali satu penggal dari 1996 hingga 1999 - apabile beliau ditewaskan oleh Datuk Siti Zaharah Sulaiman.
Ini adalah kali pertama Wanita Umno tidak mempunyai wakilnya dalam kabinet.
Shahrizat lwn Azalina?
Perkembangan terbaru itu terus mencetus spekulasi mengenai pengganti Rafidah untuk menerajui pergerakan Wanita Umno.
Jika sah berlaku kekosongan jawatan tersebut, para pemerhati politik menjangka menyaksikan pertembungan antara Shahrizat dengan bekas ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman Said yang kini menjadi menteri pelancongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI