Posted on Wednesday, March 19 @ 11:37:33 MYT by greenboc
Oleh kelantankini
"
TOKOH Umno Perlis, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang digugurkan daripada Kabinet, meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN).
Bernama melaporkan peletakan jawatan bekas Menteri Dalam Negeri itu berkuatkuasa serta merta yang dilihat pemerhati ada kaitan dengan keputusan Perdana Menteri, datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melantiknya semula menganggotai kabinet.
Kini jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam Umno yang mungkin terjadi peristiwa luar jangkaan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Selepas penolakan jawatan timbalan menteri oleh Datuk Anifah Aman dan Tengku Azlan perkhabaran terbaru ini menyulitkan usaha Abdullah untuk menyatukan Umno dan Barisan Nasional
Sebelum ini Radzi dikaitkan dengan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis hingga menyebabkan penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa mendapat watikah daripada Perdana Menteri disingkirkan.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan Abdullah selaku Presiden Umno dan Pengerusi BN telah menerima peletakan jawatan Radzi yang memberi alasan tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan.
Sebelum pilihanraya umum lalu, Radzi secara terbuka mengecam Menteri Besar Perlis ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menurutnya harus diganti.
Selain Radzi, ahli parlimen Padang Besar, Datuk Azmi Khalid juga tidak dilantik semula menganggotai kabinet yang diumumkan perdana menteri tengah hari semalam.
Dalam pada itu pada masa ini (12 tengah hari) sedang berlangsung istiadat mengangkat sumpah jawatan, lafaz taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Negara di ibu negara.
Dengan beberapa perkembangan panas yang berlaku dalam Umno dan BN ketika tidak dapat dipastikan sejauh mana Abdullah dapat mempertahankan kerajaan pimpinannya selain jawatan beliau sendiri selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Adakah jangkaan pemerhati bahawa kejatuhan kerajaan BN akan berlaku dalam tempoh terdekat. Sama-sama kita nantikan episod menarik itu!
BIODATA RADZI
Radzi dilahirkan pada 24 Februari 1942 di Jalan Pegawai, Kangar, Perlis. Beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar sebelum meneruskan pendidikan di Maktab Tentera Diraja.
Pada 1961 beliau mengambil Barrister-at-Law, Inns of Court di Middle Temple, London. Beliau pernah berkhidmat dengan perkhidmatan kehakiman sebagai timbalan pendakwa di Selangor dan kemudian Presiden Mahkamah Sesyen di Klang. Kemudian beliau meninggalkan perkhidmatan kehakiman dan membuka firma guammnya sendiri.
Kerjaya beliau dalam politik bermula apabila bertanding dalam pilihanraya umum 1982 bagi Parlimen Kangar dan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian.
Pada tahun 1989, beliau menyertai parti Semangat 46 selepas Umno diharamkan dan beliau dipecat dari Umno.
Beliau kemudiannya menyertai semula Umno pada tahun 1990 selepas keluar dari parti Semangat 46 dan dipilih bertanding semula di Parlimen Kangar pada tahun 2004.
Selepas itu, Radzi dilantik menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan kemudiannya Menteri Dalam Negeri pada 2006.
Beliau dilantik sebagai setiausaha agung Umno pada 1 Jun 2004 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka.
Note: telah dikemaskinikan "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI