Pergolakan dalaman - BN alami tsunami kedua |
Intan Abdullah� Fri | Mar 21, 08 | 2:28:48 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh)�- Fenomena perpecahan yang melanda parti pemerintah sekarang ini, iaitu Umno-BN adalah umpama 'tsunami atau 'el-nino' kedua negara selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan parti itu kehilangan lima buah kerajaan negeri. Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata situasi yang berlaku sekarang ini harus direnungi dan diambil iktibar semasak-masaknya oleh kepimpinan negara ini untuk mengatur langkah yang lebih bijak dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan. "Walaupun itu masalah rumah tangga dia, tetapi ia tetap memberi kesan kepada kestabilan kerajaan yang memerintah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Selain itu, pergolakan dalam parti tersebut yang menyerlah sehingga kepada proses pembentukan kabinet kerajaan baru ini juga memberi kesan kepada ekonomi negara. "Pelabur-pelabur asing akan merasa takut dan kurang percaya dengan kemampuan pemimpin negara menangani masalah semasa, apatah lagi ia melibatkan parti yang memerintah. "Pimpinan negara juga harus memikirkan cara terbaik untuk memulihkan kestabilan politik demi menjamin masa depan negara," ujarnya. Mengulas mengenai isu ketidaksefahaman yang cuba dimainkan oleh media arus perdana di beberapa buah negeri diterajui pembangkang, Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga menjelaskan bahawa perkara tersebut tidaklah seteruk keadaan yang sedang menimpa kerajaan Pusat. "Kerajaan yang ada sekarang ini kena fokus kepada masalah pembahagian kerusi dalam kabinet kerajaan yang baru dibentuk sehingga tidak berupaya meneruskan tugas mereka dengan jumlah yang sedikit," katanya lagi. Malah, ujarnya ada pihak yang merasakan diri mereka terpinggir sehingga mengambil tindakan meletakkan jawatan. "Jika keadaan ini berterusan, kepercayaan pelabur akan terjejas dengan ketidakupayaan kerajaan pusat yang ada sekarang ini tidak mampu menangani inflasi yang meningkat sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh sebulan," tegasnya. Oleh itu, Mahfuz menegaskan bahawa tindakan untuk mengajak Barisan Alternatif untuk menyertai Barisan Nasional adalah tidak masuk akal. "Ia adalah tindakan yang tidak masuk akal kerana kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk adalah pilihan rakyat dan ia seharusnya dihormati serta diterima oleh semua pihak," katanya. Sebelum ini, Ketua Jabatan Sains Politik Fakulti sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohamad Agus Yusof pernah menyatakan bahawa antara formula kekuatan parti pemerintah, Umno-BN adalah kestabilan politik hasil permuafakatan parti-parti politik berbilang kaum. Namun, Mahfuz membidas kenyataan tersebut yang kini dirasakan tidak lagi relevan dengan situasi yang gagal dikawal di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. - mns/ mr |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI