Polis tahan 4 lelaki didakwa pasang kain rentang Daulat Tuanku? |
Awang Harun Sat | Mar 22, 08 | 10:00:17 am MYT | |
KUALA TERENGGANU 22 Mac (Hrkh) � Polis Terengganu didakwa menahan empat lelaki kononnya bagi membantu siasatan kes pemasangan kain rentang yang menyokong Istana di JalanSultan Mohamad, awal pagi 20 Mac. Pihak tertentu dipercayai dari parti pemerintah dikatakan kurang senang dengan pemasangan kain rentang tersebut selagi jawatan Menteri Besar Terengganu belum disahkan kepada 'pemiliknya'. Harakahdaily dimaklumkan salah seorang dari empat lelaki tersebut merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar tahun 1990, Harun Jusoh. Mangsa, Mohd Hafiz Haji Harun, 27, dari Kampung Kuala Ibai ditahan polis bersama tiga rakan-rakannya ketika cuba memasang kain rentang menyokong pihak Istana. Kata beliau, pihak polis melebihi 10 orang telah bertindak merampas serta menahannya bersama tiga rakan lain berhampiran Plenatarium di Jalan Sultan Mohamad. "Saya baru hendak pasang tiba-tiba datang kereta dan beberapa orang anggota polis merampas dan menahan kami berempat dan dibawa ke balai polis Kuala Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dimasukkan ke wad akibat implikasi asma setelah empat jam disoal siasat polis, semalam. Antara yang lain ditahan polis iaitu Mohd Zulhafiz Mohamad, 23, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Rosmawi Mamat, 32, dan Mohd Faizul Embong, 26, juga dari kampung yang sama. Sehubungan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri mengesahkan penahan empat lelaki dalam lingkungan umur 23 hingga 32 tahun kira-kira jam 1.45 pagi itu. Menurutnya, pihak polis berjaya mendapat perintah mahkamah serta ditahan direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Katanya, kain rentang tersebut berbunyi 'Daulat Tuanku, Selamatkan Terengganu Darul Iman', 'Daulat Tuanku, Patik Rakyat Terengganu Berdiri Teguh di Belakang Duli Yang Maha Mulia Tuank' dan lain-lain. Harakahdaily dimaklumkan, dua hari sebelum itu sebanyak 60 keping kain rentang (banner) yang dipasang �warga kota� (rakyat) dan disokong oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu �hilang� hanya beberapa jam tergantung. Antara lain slogan yang tertera pada kain rentang berkenaan berbunyi 'Daulat Tuanku, Rakyat Terengganu Tolak Deris Demi Keharmonian Terengganu Darul Iman' dan 'Jangan Lok Patrick Lim Mengatur Kuasa Politik Dan Harta Rakyat Terengganu' dipasang di seluruh lokasi utama di ke pusat Bandaraya ini. Kain rentang tersebut bagi menyatakan sokongan serta pendirian rakyat berdiri teguh dibelakang Tuanku Sultan yang turut dipasang oleh beberapa NGO di negeri ini. Kesemua suspek yang ditahan itu di bawah tiga akta iaitu Akta Percetakan Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957. Difahamkan juga, sebarang poster, kain rentang (bennar) atau apa-apa sebaran am berkaitan isu MB dengan pihak Istana Tuanku akan dirampas, dicuri serta dihilangkan dari pengetahuan orang ramai. Misteri 'kehilangan' kain rentang itu dipercayai dilakukan pihak tertentu menjalankan operasi khas 24 jam agar berita gelombang pihak Istana dan rakyat menolak kepimpinan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu ditutup. Sumber Harakahdaily memaklumkan tarikh perlantikan Menteri Besar Terengganu itu masih menjadi teka-teki di kalangan rakyat kerana belum mendapat lampu hijau dari pihak Istana./wann |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI