Posted on Tuesday, March 18 @ 15:51:22 MYT by SongkokPutih
Oleh Haji Abdul Hadi Awang
PAS melihat kabinet baru Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi ini lebih merupakan kabinet untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau sebagai PM dan Presiden Umno dan bukannya untuk membina Malaysia yang baru. Nama-nama yang telah diumumkan itu kebanyakkannya merupakan mereka yang setia dengan Abdullah manakala mereka yang dikira rapat dengan Timbalan Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak telah dicantas.
Perlantikkan beberapa Senator untuk menganggotai kabinet khasnya dari kalangan pimpinan Umno membuktikan yang Abdullah menganggap bahawa ahli-ahli Parlimen Umno yang lain yang telah berjaya dalam pilihan raya umum lalu sebagai tidak layak untuk duduk di dalam kabinet.
PAS juga mendapati kabinet ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang moral dan kebersihannya sangat diragukan oleh rakyat dan ini sudah pasti tidak akan membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerjaaan BN.
Bagi PAS kabinet baru Perdana Menteri ini tidak memiliki kekuatan untuk mengubat ketidakpuasan hati rakyat yang telah diterjemahkan melalui keputusan PRU ke 12 lalu. Abdullah jelas tidak mengambil iktibar dari kemerosotan sokongan rakyat terhadap beliau itu dan diyakini melalui kabinet ini beliau akan terus mengulangi kesilapan dan kelemahannya yang lalu.
18 Mac 2008
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI