PM Abdullah tidak tepati janji tambah peranan wanita |
Mat Zain Mat Isa� Fri | Mar 21, 08 | 10:01:05 am MYT | |
Ironis, bukan? Di saat parti-parti pembangkang yang selama ini ditohmahkan sebagai meminggirkan peluang untuk kaum wanita, kini semakin memberi ruang kepada kaum itu dalam kepimpinan, perkara sebaliknya pula berlaku kepada parti pemerintah, Barisan Nasional. Selama ini, para pemimpin BN sering melabelkan parti-parti pembangkang, terutamanya PAS sebagai parti yang mendiskriminasi dan menafikan hak dan kebebasan kaum wanita. Kononnya parti itu tidak bersedia memberi peluang wanita memegang jawatan penting atau memainkan peranan utama dalam politik. Isu ini telah menjadi modal politik BN, terutama dalam memfitnah kerajaan pimpinan PAS di Kelantan sejak 18 tahun lalu. Kononnya hak dan kebebasan wanita sangat terkongkong di bawah pemerintahan PAS. Dakwaan itu bagaimana pun telah dibuktikan tidak benar. Kerajaan pimpinan PAS itu sebaliknya muncul sebagai pembela nasib dan maruah wanita menerusi pelbagai dasar dan keputusan yang nyata memartabatkan kedudukan kaum itu dalam masyarakat. Diakui semua pihak betapa penyertaan wanita dalam arus pembangunan negara tidak lagi boleh diketepikan. Sedangkan peratusan wanita dalam pembuat dasar serta pemimpin politik masih kecil, berbanding jumlah mereka dalam masyarakat. Di kebanyakan tempat dalam negara, wanita membentuk lebih separuh jumlah pemilih berdaftar. Suara mereka adalah penentu kemenangan atau kekalahan sesuatu parti. Agak mengejutkan, rupa-rupanya soal kekurangan ruang atau peluang bagi wanita di dalam pembuat dasar ini bukan saja berlaku dalam parti-parti pembangkang. Ia turut didedahkan berlaku dalam parti pemerintah sendiri. Sebab itu soal peratusan lebih tinggi wanita sebagai pembuat dasar pernah diutarakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil sejak beberapa tahun lalu. Beliau malah pernah merayu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar peratusan itu ditingkatkan sehingga 30 peratus. Apa jawaban Abdullah? �Shahrizat tidak perlu tentukan peratus (wanita dalam pembuat dasar dan politik). Tunggu.... ia tetap berlaku kerana arus pembangunan wanita cukup hebat,� katanya ketika berucap merasmikan Hari Wanita 2007, Ogos lalu. Akhbar melaporkan jaminan Abdullah itu mendapat tepukan gemuruh kira-kira 20,000 wanita yang memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil sempena sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan pada hari tersebut. Ekoran jaminan itu, menjelang pemilihan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum lalu, setiap sayap wanita parti-parti komponen menyuarakan harapan agar lebih ramai anggota mereka dipilih sebagai calon parti masing-masing. Jumlah itu bagaimana pun tidak mencapai apa yang mereka suarakan. Sebaliknya, di kalangan parti-parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat dan PAS, jumlah calon-calon wanita yang diketengahkan kali ini sangat menggalakkan. Sebilangan mereka malah menang kerusi yang ditandingi. Dalam keadaan pihak yang ditohmahkan sebagai meminggirkan wanita telah membuktikan sebaliknya, tiba-tiba pihak yang sebelum ini mendakwa membela dan memberi banyak ruang kepada kaum wanita pula kelihatannya meminggirkan kaum itu. Apa lagi yang boleh dikatakan apabila Ketua Wanita Umno sendiri seakan mengakui hakikat itu? Akhbar semalam (20 Mac) menyiarkan kekesalan Dato' Seri Rafidah Aziz serta beberapa pemimpin Wanita Umno, terhadap ketiadaan wakil mereka sebagai menteri penuh dalam Kabinet yang baru diisytiharkan Abdullah. Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dilaporkan berkata, beliau tidak berkecil hati dengan keputusan Abdullah menggugurkannya daripada jemaah menteri tetapi sedih kerana buat pertama kalinya Wanita Umno tidak mempunyai wakil dalam Kabinet sebagai menteri penuh. Dalam pembentukan Kabinet yang diisytiharkan Abdullah, Selasa (18 Mac), Rafidah tidak disenarai semula. Bagaimana pun, Timbalannya, Shahrizat yang kalah di Parlimen Lembah Pantai, dijadikan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri yang setaraf jawatan menteri. Satu-satunya menteri wanita dari parti Umno ialah Dato' Azalina Othman. Rafidah bagaimana pun dikatakan bertegas dengan pendiriannya yang menggambarkan Azalina bukan mewakili Wanita Umno. "Saya menghormati dan akur keputusan pucuk pimpinan tetapi rasa terkejut dan terkilan tetap ada.... tidak pernah berlaku sebelum ini daam sejarah perjuangan Wanita Umno ketuanya yang memenangi pilihan raya umum tidak terpilih," kata Ketua Wanita Umno Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin mengenai kes menimpa Rafidah. Beberapa pemimpin Wanita Umno lain turut melahirkan rasa terkilan mereka terhadap keputusan dibuat Abdullah itu. Meski pun menerima baik pelantikan Shahrizat, mereka tetap beranggapan ianya tidak mencukupi. Wanita Umno berharap sangat mendapat jawatan yang lebih penting. Inilah yang dikatakan 'terbalik kot'. Sedangkan di waktu sama, pihak parti pembangkang sedang berura-ura menobatkan seorang wanita sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Jika segalanya berjalan baik, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail akan mencatat sejarah sebagai Ketua Pembangkang Wanita yang pertama di negara ini. Abdullah telah meletakkan Wanita Umno dalam keadaan sangat defensif menghadapi pembangkang sekarang. Ternyata tepuk-sorak mereka di Stadium Putra Bukit Jalil tahun lalu telah disia-siakan. Abdullah tidak menepati janjinya meningkatkan peranan wanita dalam Kabinetnya sendiri. - mr |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI