PUTRAJAYA: Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di Pulau Pinang dan disahkan pagi semalam membabitkan rakan kepada pesakit pertama yang dikesan kelmarin, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat.
“Pesakit ini adalah rakan kepada pesakit pertama dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau kini dalam keadaan stabil dan tidak lagi demam,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Dr Ramlee berkata, anggota keluarga pesakit berkenaan juga dikuarantin di kediaman mereka selama tujuh hari bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus itu.
“Setakat ini mereka dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata, Kementerian Kesihatan mengenal pasti semua kontak yang ada dalam penerbangan sama dengan pesakit pertama dan kedua.
“Penerbangan MH091 adalah destinasi terakhir pesawat terbabit, membawa 192 penumpang dan 15 anak kapal pada tarikh berkenaan.
Daripada 192 penumpang, seramai 119 masih ada di negara ini, membabitkan 81 rakyat Malaysia dan 38 warga asing. Baki 73 penumpang lagi meneruskan penerbangan masing-masing ke luar negara pada tarikh sama, 13 Mei,” katanya.
Dr Ramlee berkata, kementerian juga menerima panggilan daripada 35 penumpang yang menaiki penerbangan berkenaan untuk tujuan pengesahan.
“Selain menerima panggilan terus, kami edarkan senarai penumpang yang masih ada di negara ini kepada semua Jabatan Kesihatan negeri bagi tindakan segera,” katanya.
Di bawah langkah sama, Dr Ramlee berkata, tiga penumpang yang transit di negara ini pada 13 Mei lalu sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke destinasi mereka kelmarin dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemerhatian.
“Mereka dikuarantin sehingga 20 Mei ini dan kita akan aturkan penerbangan mereka selepas itu,” katanya.
Dr Ramlee berkata, kementerian juga akan mengeluarkan laporan harian berhubung penularan wabak meningitis yang dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka serta wabak leptospirosis di Pulau Pinang.
“Orang ramai tidak perlu panik kerana apabila ada wabak baru dikesan, ini menunjukkan sistem kesihatan negara kita pada tahap yang sangat baik.
“Kementerian akan memastikan semua langkah perlu akan dilaksanakan dengan serius untuk menangani perkara ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, di Alor Setar, Jabatan Kesihatan Kedah meminta dua individu dari negeri ini yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari New York yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lalu, segera menghubungi kementerian atau terus membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Hasnah Ismail, dalam satu kenyataan semalam berkata, tiga individu itu yang berasal dari negeri ini disenaraikan menaiki pesawat berkenaan.
Katanya, seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 33 tahun datang ke Bahagian Kecemasan HSB pada 6 petang kelmarin dan selepas menjalani pemeriksaan, dia didapati sihat dan diarah menjalani kuarantin di rumah.
Difahamkan, dua lagi individu tidak dapat dihubungi kerana alamat mereka kurang jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI