BUTTERWORTH Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan menjadi perintis kepada pelaksanaan sepenuhnya undang-undang dan peraturan berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Ngah Senik berkata individu yang melanggar larangan berkempen menurut Sub Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh ditahan polis dan dikenakan tindakan penjara tidak lebih setahun atau denda RM5,000 atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau berkata selama ini larangan itu tidak dipatuhi sepenuhnya oleh parti yang bertanding kerana mereka masih melobi undi di kawasan pondok panas melalui pemakaian lambang, logo, bendera parti atau pemujukan.
"Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil Penanti ini, pondok panas tidak lagi dibenar kerana kita tidak mahu aktiviti meraih atau merayu undi berlaku pada saat akhir sebelum pengundi masuk ke pusat pengundian," katanya pada taklimat media di sini semalam.
Beliau berkata pemakaian lencana, topi atau apa sahaja yang mempunyai lambang parti terutama di kawasan 100 meter daripada pusat pengundian juga tidak dibenarkan. Ngah berkata semua pihak yang bertanding diberi masa yang mencukupi untuk berkempen iaitu bermula daripada selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) membuat pengumuman mengenai calon yang akan bertanding pada hari penamaan calon pada 23 Mei sehingga pukul 12 tengah malam 30 Mei ini.
"Saya benar-benar berharap semua pihak sama ada parti politik atau calon bebas yang bertanding mematuhi larangan ini dan tidak menggunakan meja semakan yang dibenarkan di kawasan 100 meter dari pusat pengundian untuk merayu undi lagi.
"Biarlah Penanti menjadi permulaan kepada pilihan raya yang aman, tenang dan pengundi tidak menghadapi tekanan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Ngah berkata SPR melantik 450 petugas dan memperuntukkan RM500,000 untuk mengendalikan pilihan raya kecil Penanti itu.
Beberapa pembaharuan dibuat untuk pilihan raya kecil kali ini, antaranya mewujudkan barung SPR di kawasan 50 meter dari pusat pengundian dan menambah bilangan pemandu arah untuk membantu pengundi menuju ke saluran masing-masing, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI