Kes itu pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan semalam di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff.
Seorang pegawai pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, kes dijadual semula semalam di hadapan panel tiga hakim itu tetapi peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar sibuk.
Pada 16 Jun tahun lalu Mahkamah Persekutuan membenarkan Anwar mencabar kesahihan dari segi Perlembagaan pemecatannya daripada jawatan Kabinet itu.
Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang - sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut Perlembagaan dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah akan memutuskan sama ada Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.
Pada 23 Disember 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Dr Mahathir dan kerajaan untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 September 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.
Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI