Kosmo
JAKARTA - Jumlah kematian akibat nahas pesawat Hercules milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU) di Magetan, Jawa Timur yang berlaku pada pukul 6 pagi semalam meningkat kepada 98 orang, kata beberapa pegawai.
Sehingga semalam, jumlah yang dilaporkan pelbagai media massa tempatan masih berbeza-beza antara lebih 90 orang dan lebih 100 orang kerana ia turut mengakibatkan kematian penduduk yang rumah mereka hancur dihempap serpihan pesawat.
Stesen televisyen tempatan pula melaporkan 15 orang terselamat dan dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi keadaan kecederaan mereka tidak dapat dipastikan kerana kawalan ketat oleh pihak berkuasa dan hospital, tetapi kebanyakannya melecur.
Menurut TNI-AU, pesawat itu membawa pelbagai keperluan logistik untuk anggota tentera di wilayah timur Indonesia dan semua penumpang terdiri daripada anggota tentera serta keluarga mereka, termasuk 10 kanak-kanak.
Jurucakap Markas Besar TNI, Sagom Tamboen dilaporkan berkata, pesawat itu membawa sembilan anak kapal dan mengangkut 98 penumpang, termasuk 88 dewasa dan 10 kanak-kanak yang semuanya keluarga anggota TNI.
Tiga mangsa yang bukan penumpang dan anak kapal pesawat Hercules C-130 itu pula ialah Rosidi, Warsim dan seorang lain, yang mati ketika sedang berada dalam rumah yang dihempap pesawat itu, katanya yang dipetik agensi berita Antara.
Beliau berkata, memandangkan usaha mengeluarkan mangsa masih dijalankan, angka kematian berkemungkinan meningkat.
Sementara itu, Komandan Pemeliharaan Material TNI-AU, Sunaryo pula berkata, pesawat Hercules C-130 bernombor A-1325 yang terhempas itu baru setahun menjalani penyelenggaraan di Depo Pemeliharaan 10 Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung.
"Setelah setahun menjalani penyelenggaraan mesin, pesawat sudah menjalani 800 jam terbang dan masih sangat layak terbang," katanya.
Presiden Indonesia, Bambang Susilo Yudhoyono berkata, punca nahas masih disiasat.
"Kita tidak boleh menyatakan ia kerana masalah cuaca, enjin atau kesilapan manusia. Adalah lebih baik kita tidak membuat spekulasi mengenainya," kata beliau. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI