JENAYAH
KUANTAN: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga dua mat rempit, yang meragut dua mangsa sebelum itu, akhirnya ditahan polis selepas meragut untuk kali ketiga dalam tempoh kurang tiga jam.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 16 tahun (tidak bersekolah), dan 22 tahun itu diberkas selepas meragut mangsa ketiga mereka di hadapan Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, dekat sini, pada kirakira pukul 11.10 pagi semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang (Bahagian Risikan dan Operasi) Supt Nordin Mustapha berkata secara kebetulan, sebuah kereta peronda polis melalui kawasan berkenaan ketika kedua-dua suspek yang membonceng sebuah motosikal meragut seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun.
"Kereta peronda itu terus mengejar suspek dan berjaya menahan mereka selepas motosikal itu terbabas semasa cuba melarikan diri bersama beg tangan berisi RM14 milik mangsa," katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati keduadua suspek yang juga penganggur itu turut terbabit dalam dua kejadian ragut sebelum itu.
"Dalam kejadian pertama di Sungai Pinang dekat Sungai Lembing pada kira-kira pukul 8.30 pagi, mereka meragut seorang wanita berumur 25 tahun yang sedang menunggang motosikal. Wanita itu kerugian RM300 selepas beg tangan yang diletak dalam bakul motosikalnya disambar suspek. "Kemudian pada pukul 11 pagi berhampiran Balai Bomba Bandar Indera Mahkota, mereka cuba untuk meragut seorang pelajar wanita berusia 20 tahun tetapi gagal apabila mangsa berjaya menepis tangan suspek ketika cuba menyambar beg tangannya," katanya.
Nordin berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Padang dekat Sungai Lembing itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI