Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahru@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Penangan suami ‘psiko’ yang tidak gentar menghadapi undang-undang menjadi mimpi ngeri kepada seorang isteri hingga hidup tidak keruan apabila terpaksa menjadi pelarian dengan berpindah lebih 20 kali sejak dua tahun lalu bagi menyelamatkan diri.
Wanita berusia 50-an itu menyembunyikan diri bersama empat anak selepas lelaki terbabit mengugut memburunya hingga ke lubang cacing.
Malah, suami yang dipercayai terpengaruh ilmu hitam itu pernah mengejarnya dengan pisau berikutan menuduh isterinya cuba bermain kayu tiga walaupun dakwaan itu tidak benar.
Wanita yang mahu dikenali Saadiah itu turut mendakwa cedera akibat dibelasah sebelum dia membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan.
Bagi menjauhkan diri daripada lelaki terbabit, dia memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah syariah sejak lebih enam tahun lalu, namun menemui jalan buntu apabila tiada penyelesaian diputuskan pihak berkenaan.
Walaupun kes itu dibicarakan di mahkamah, suaminya tetap mahu isterinya itu sujud di kakinya dan kembali ke rumah tanpa sebarang alasan.
Menurut Saadiah, dia terpaksa berpindah lebih 20 kali bagi melarikan diri daripada suami yang mencarinya tanpa henti.
Dia berkata, suaminya tidak mempedulikan undang-undang walaupun proses mahkamah sedang berjalan dan laporan polis dibuat.
“Saya tak sanggup lagi pulang ke rumah dan menyerahkan kepada mahkamah segera membuat keputusan bagi mengelak kehidupan ngeri yang terpaksa dihadapi.
“Saya hidup dalam ketakutan apabila dikejar suami dengan pisau selain dibelasah hingga cedera,” katanya.
Dia sudah membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang dilakukan suami bagi menjaga keselamatan diri dan anak.
Walaupun mempunyai pelbagai bukti tindakan ganas suami serta laporan polis, kata Saadiah, mahkamah masih tidak dapat memberikan keputusan, malah semakin banyak penangguhan perbicaraan dilakukan.
“Saya berusaha supaya kes dipercepatkan dengan mematuhi tarikh ditetapkan, tetapi masalah timbul apabila pihak suami sering ‘mengganggu’ bagi memastikan kes berkenaan berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya.
Dia pernah meminta mahkamah mempertimbangkan pertukaran taklik yang dibuat ketika berkahwin dulu selepas suami tidak lagi melaksanakan tanggungjawab sepatutnya.
“Lebih mengejutkan, saya perlu mencari dua saksi akad nikah bagi membolehkan permohonan itu diteruskan.
“Mana saya hendak cari saksi terbabit kerana perkahwinan sudah lama. Saya pun tidak tahu sama ada saksi terbabit masih hidup atau mati,” katanya.
Kini, Saadiah berkata, dia bingung akibat tekanan suami menyebabkan tidak dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.
Tanpa berselindung, Saadiah mengakui perkahwinannya sudah tidak boleh diselamatkan dan nekad untuk membina hidup baru bersama anak yang turut terasa bahang apabila diburu bapa mereka.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak masih memberikan sokongan kepadanya dengan tidak menerima tindakan dilakukan bapa terhadap ibu mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI