KUALA LUMPUR: Samseng jalan raya atau 'Mat Rempit' mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda.
Ini berikutan hukuman yang sedia ada ke atas samseng jalan raya yang disabitkan kesalahan iaitu denda minimum RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun tidak mampu menyedarkan mereka.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, cadangan itu yang kini masih pada peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan sebelum mendapatkan kelulusan.
"Pihak kita ada berbincang untuk laksanakan hukuman penjara mandatori bagi samseng jalanan. Sebelum ini kebanyakan kes, pesalah hanya membayar denda atau saman, tetapi dengan dikuatkuasakan undang-undang tersebut, semua pesalah perlu menjalani hukuman di penjara mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun hukuman penjara mandatori itu hanya dicadangkan bagi samseng jalanan yang berumur 18 tahun ke atas manakala bagi mereka yang di bawah umur, kumpulan berkenaan masih tertakluk pada Akta Perlindungan Kanak-kanak.
"Kita juga sedang mengkaji supaya pesalah-pesalah yang di bawah umur dihantar ke sekolah-sekolah juvana," katanya.
Abdul Aziz berkata, seramai 69 orang ditahan di seluruh negara dalam operasi bersepadu lumba haram dan cegah jenayah yang dijalankan selama 17 hari bermula 1 Mei lepas.
Daripada jumlah itu, 40 orang yang ditahan adalah mereka yang berumur di bawah 20 tahun dan tiga orang berumur di bawah 15 tahun.
"Seramai 33 orang daripada jumlah yang ditahan itu juga telah didakwa di mahkamah manakala yang lain masih dalam siasatan polis," katanya.
Beliau berkata dalam tempoh tersebut, sebanyak 13,000 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan di mana 50 peratus daripadanya membabitkan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan juga insurans kenderaan.
"Kita juga berjaya merampas lima motor curi dan menahan 29 daripada 589 individu yang diperiksa atas kesalahan dadah," katanya.
Dalam usaha mencegah kegiatan lumba haram dengan lebih agresif, beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi Skuad 42 yang khusus menjalankan operasi membanteras lumba haram ke semua kontinjen di seluruh negara.
"Kini ada beberapa kontinjen yang sudah ada skuad 42 seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) yang sememangnya fokus kepada operasi cegah lumba haram. Jadi saya berharap setiap kontinjen akan mempunyai Skuad 42 mereka masingmasing sebelum hujung tahun ini," katanya.
Ketika diminta mengulas istilah Mat Rempit yang sering diperkatakan sejak kebelakangan ini, beliau berkata, polis tidak pernah menggunakan istilah terbabit kepada kumpulan samseng-samseng jalanan itu.
"Polis tidak pernah beri istilah Mat Rempit kepada mereka. Apabila gelaran itu diberikan kepada mereka, ia seoalah-olah menunjukkan mereka itu jaguh di jalan raya.
"Oleh itu saya harap jangan guna istilah itu kepada mereka lagi, apa yang nyata mereka ini samseng jalanan yang mana kelakuan mereka itu boleh mengancam nyawa orang lain," kata Abdul Aziz.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI