Kosmo
Selain melepasi pelbagai ujian getir daripada jurutera tempatan, GT128 juga mendapat pengiktirafan Kawasaki Thailand.
SESI tunggang uji motosikal kali ini diadakan di lokasi yang agak jauh. Litar yang cukup sinonim dengan acara perlumbaan Cup Prix, Litar Pasir Gudang, Johor Bahru menjadi medan buat sekumpulan wartawan menguji kemampuan sebenar jentera terbaru keluaran Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).
Model yang mula dibangunkan sejak tahun 2006 itu diberi nama Modenas GT128. Cuba mengangkat falsafah Grand Touring (GT), jentera itu direka bagi memenuhi setiap kemahuan kumpulan sasar yang umumnya terdiri daripada golongan muda.
Justeru, tidak hairanlah jika penampilan GT128 cukup sporty. Ia juga sarat dengan pelbagai ciri yang membuatkannya lebih menyerlah berbanding pesaingnya.
|
|
Dari segi reka bentuk dan teknologinya, Modenas mahu GT128 dilihat sebagai satu bentuk transformasi dan berbeza berbanding model-model moped dan skuter yang pernah dikeluarkannya sebelum ini.
Tidak sabar untuk mengujinya, terik matahari tidak kami hiraukan. Selepas memakai sarung tangan, pad pelindung siku dan lutut, sebanyak tujuh buah GT128 pelbagai warna bersedia untuk beraksi.
Sesi itu diketuai oleh bekas pelumba terkenal negara, Shahrul Yuzi yang memberi peluang kepada setiap penunggang membiasakan diri dengan laluan litar sebanyak dua pusingan. Kemudian, kami dibiarkan melayan selekoh untuk tiga kali pusingan lagi.
Pendikit minyak dipulas, model keluaran ke-14 Modenas yang dilengkapi dengan unit enjin daripada Kawasaki itu seakan-akan menjanjikan tunggangan yang bertenaga.
|
|
Dipadankan dengan transmisi rotary empat kelajuan, GT128 boleh dikatakan berupaya melalui laluan bengkang bengkok dan mendaki dengan baik. Cuma, kadangkala GT128 terasa kehilangan kuasa tork untuk mendapatkan kembali momentum, terutama ketika penunggang perlu melepaskan pendikit sebelum memasuki selekoh.
Sebenarnya, GT128 menggunakan unit enjin yang sama pada model Modenas X-Cite iaitu model terlaris bagi pasaran eksport Modenas terutama di Greece dan Iran. Enjin 130cc ini disokong oleh rakan kongsi Kawasaki Heavy Industries Ltd. dan menepati tahap piawaian EURO 2.
Ia terbukti sebagai enjin yang tahan lasak, menjimatkan petrol dan mesra alam. Modenas mendakwa dengan tangki penuh 4.3 liter, anda boleh pergi sejauh 209 kilometer. Lebih spesifik lagi, sejauh 64.4 kilometer bagi setiap liter petrol jika anda menunggang pada kelajuan 80 km/j.
Kapcai itu dibina daripada kerangka jenis underbone. Sistem suspensi yang diletakkan pada setting paling keras sewaktu sesi ujian itu pula membantu memberikan rasa lebih stabil ketika penunggang ingin mengubah haluan sama ada ke arah kiri atau kanan.
Jika Yuzi berjaya memerah seluruh tenaga GT128 untuk mencatat kelajuan maksimum sekitar 160km sejam, penunggang amatur cuma memperoleh pecutan paling tinggi 140km/j.
|
|
Pada kelajuan ini, meter rpm berada pada takat 7,000 rpm. Pada masa yang sama, getaran pada perehat kaki dapat dirasa dengan agak ketara.
Rekaan kowling dan fairing pada bahagian hadapan GT128 bukan sekadar untuk memenuhi syarat estetika atau aerodinamiknya. Malah, ia direka bentuk bagi menyalurkan udara yang mencukupi ke arah enjin. Aplikasi ini penting berikutan GT128 menggunakan sistem penyejukan udara pada enjinnya.
Mahu menawarkan aspek keselamatan yang optimum, GT128 hadir bersama brek cakera pada roda hadapan dan belakangnya. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa jarak membrek dapat dipendekkan, selain penunggang tidak perlu berusaha lebih untuk menarik dan menekan tuil brek yang ada.
Paparan meter yang ada pada GT128 tidak terhad pada meter kelajuan analognya sahaja. Ia turut dilengkapi dengan panel paparan digital yang memberikan maklumat berguna kepada penunggang seperti penunjuk aras petrol, keupayaan bateri dan ikon minyak enjin akan berkelip jika sudah tiba masa untuk anda menukarnya.
|
|
Tidak cukup lagi kelebihannya? GT128 juga dilengkapi dengan pengesan posisi pendikit minyak (throttle positioning sensor) yang berupaya mengoptimumkan penggunaan bahan api, di samping lampu utama berkembar yang lebih terang dan lebar.
Faham tentang limitasi sebuah kapcai, GT128 masih boleh menjadi sebuah kenderaan harian yang memuaskan. Apatah lagi harganya di bawah paras RM5,000 membuatkan model itu cukup kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Harith Abdullah memberitahu, pihaknya optimis dan yakin mampu menjual sebanyak 2,000 unit GT128 setiap bulan. Angka tersebut membolehkan jenama itu meningkatkan penguasaan pasarannya kepada 15 peratus, berbanding 11 peratus pada tahun lalu.
Model itu didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih, hijau, oren dan kelabu. Penarafan? Berdasarkan kepada skala satu hingga 10, saya beri tujuh untuk Modenas GT128.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI