Oleh: Rusnizam Mahat
SHAH ALAM, 11 MEI (SK) - Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan yang baru dibebaskan dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata beliau akan memfailkan saman sivil terhadap lima penama, Menteri Dalam Negeri, Kerajaan Malaysia, pihak kem Kamunting, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Kim di bangunan Dun Shah Alam pada 11 Mei lalu. Manoharan merupakan salah seorang dari tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan dari akta drakonian itu, selain 10 tahanan lain.
“Saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan kerana membebaskan saya sebaliknya saya ingin failkan saman kepada pihak terbabit termasuk kerajaan Malaysia untuk tuntutan gantirugi selama 17 bulan saya ditahan dalam ISA,”ujar Manoharan.
Menurutnya, tuntutan saman sivil itu berhubung fitnah dan tuduhan beliau terlibat dengan kegiatan keganasan termasuk dikaitkan dengan Liga Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), penderaan mental selama beliau ditahan di kem Kamunting dan tuntutan gantirugi lain.
Manoharan turut mendesak kerajaan menarik balik enam syarat pembebasan beliau, antaranya perintah pergantungan dari Menteri Dalam Negeri yang tidak membenarkan beliau keluar dari daerah Klang tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.
“Tidak ada arahan larangan dari mahkamah. Ini menunjukkan kerajaan melanggar kebebasan bergerak seperti yang termaktub dalam perlembagaan,”tegasnya.
Ketika ditanya samada beliau tidak takut dengan risiko ditangkap semula di bawah akta itu, Manoharan menjawab “Saya sedia ditangkap demi untuk membela nasib rakyat”.
Beliau dalam masa yang sama dengan tegas menolak tawaran dari Setiausaha Agungnya, Dr S. Subramaniam yang menjemput pemimpin Hindraf menyertai parti itu. Sebaliknya, beliau mengajak pemimpin-pemimpin MIC supaya menyertai Pakatan Rakyat.
Sesi persidangan Dun yang akan bermula pada 8 Julai depan menyaksikan pertama kali Manoharan beraksi sebagai Adun di sidang Dewan Undangan negeri.
Ditanya mengenai perasaannya yang akan memulakan khidmat sebagai wakil rakyat Kota Alam Shah selepas dibebaskan di bawah ISA, Manoharan berkata beliau merasa gembira dan bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan itu.
“Saya sudah mula melawat kawasan semalam (10 Mei) dan merasa gembira kerana akan memulakan khidmat sebagai Adun pada sesi Dun yang akan datang. Isteri saya yang selama ini memikul tugas sebagai Adun akan turut membantu,”katanya
Sementara itu, Speaker Dun, Teng Chan Kim mengalu-alukan kepulangan Manoharan dari ISA. Sebelum ini, tiga Adun Selangor merupakan bekas tahanan ISA iaitu Adun Kota Damansara, Nasir Hashim, Adun Ulu Klang, Saari Sungip dan Adun Kinrara, Teresa Kok.
“Saya merasa lega dengan kehadiran Manoharan, dewan akan bersidang dengan lebih sempurna kerana tanpa kehadiran beliau tidak lengkap. Kita akan perkasakan lagi pasukan BBC yang sedang berusaha untuk membawa perubahan kepada rakyat di negeri ini dan menjadi badan penggubal undang-undang yang berkesan,”kata beliau.
Kedatangan Manoharan di Dewan Undangan Negeri Selangor turut disambut beberapa Adun Pakatan Rakyat iaitu Adun Seri Andalas, Xavier Jayakumar, Adun Kota Damansara, Nasir Hashim dan Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI