|
|
PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan lawannya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali semalam yang membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Hakim Ramly juga berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.
Katanya, beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.
"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Mohammad Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
Pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa ialah Menteri Besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar.
Mohammad Nizar yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lalu selepas pakatan DAP-PKR-Pas memenangi 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-12 juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan Menteri Besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI