SUNGAI PETANI - Misteri bau busuk yang dihidu oleh sebuah keluarga selama dua hari di rumah mereka terjawab dengan penemuan mayat bayi lelaki yang mulai reput di bawah katil anak perempuan mereka di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila mereka mendapati mayat bayi yang sempurna sifatnya itu dilahirkan oleh anak perempuan kedua mereka yang berusia 27 tahun.
Kejadian itu terbongkar apabila pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menyerbu rumah berkenaan, petang semalam ekoran laporan Hospital Sik yang meragui penjelasan wanita itu ketika dia mendapatkan rawatan di hospital itu.
Difahamkan, keluarganya tidak perasan anak mereka yang bekerja sebagai operator kilang itu mengandung memandangkan badannya yang agak gempal dan sikapnya yang pendiam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, wanita itu melahirkan bayi tersebut seorang diri di dalam biliknya pada 11 Mei lalu.
"Bagaimanapun bayi yang cukup bulan itu mati sewaktu dilahirkan. Kerana terlalu takut dimarahi keluarga, dia bertindak menyembunyikan bayi itu di bawah katilnya.
"Dia meminta bantuan seorang saudaranya menghantarnya ke Hospital Sik setelah mengadu sakit perut," katanya.
Menurut Hashim lagi, pemeriksaan hospital kemudian mendapati wanita itu mengalami pendarahan yang agak teruk kerana baru lepas bersalin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI