BERITA
KUALA LUMPUR: Selepas 96 hari, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat diisytiharkan sebagai Menteri Besar sah, tetapi keputusan hari ini belum memberi petanda jelas sama ada krisis politik Perak yang memasuki bulan ketiga akan menemui jalan penyelesaian.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.45 petang tadi.
Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan SUK Perak.
Ratusan penyokong Nizar berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah hari tadi dengan kawalan keselamatan ketat.
ALASAN MAHKAMAH
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan.
Selain itu tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa terhadap Nizar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham untuk menangguhkan keputusan pengesahan kedudukan Nizar sebagai MB Perak tetapi mereka boleh mengemukakan rayuan.
Dalam kertas penghakiman yang dibacakan lebih satu jam bermula pukul 2.30 petang tadi, Abdul Aziz berkata, satu-satunya cara untuk melucutkan jawatan Nizar sebagai Menteri Besar adalah melalui keputusan undi tidak percaya dalam sidang DUN.
Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) membawa 31 ADUN termasuk tiga wakil rakyat Bebas menghadap Sultan Perak telah menyebabkan bukti yang menunjukkan Nizar kehilangan undi majoriti itu datang daripada pelbagai sumber.
REAKSI NIZAR
Dalam reaksi segera, Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kuala Kangsar, dijangka esok pagi bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.
Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry selaku Menteri Besar sejak Februari lalu akan dikaji semula kecuali keputusan untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu yang berakhir dengan kekecohan.
"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah," katanya.
Nizar juga memberitahu mesyuarat Exco akan diadakan segera.
"Kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu," katanya.
Nizar telah kehilangan jawatan tersebut 6 Februari berikutan krisis politik Perak.
PERMOHONAN
Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga ADUN daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.
Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.
Sultan Azlan berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar baru pada 6 Februari.
Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.
Zambry juga diwakili oleh Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI