myMetro
Oleh Zaitie Satibi, Shahrul Nizam Mohamad dan Amir Hamzah Nordinam@hmetro.com.my
DOA...Natirah dan suaminya, Mat Zakri Jawa berdoa di pusara ayahnya, semalam. |
KUALA LIPIS: “Ini berita paling memilukan pernah saya terima,” kata Natirah Yunus, 45, anak Yunus Mat Ajab, 68, yang terbunuh dalam nahas ngeri di Kilometer 24, Jalan Lipis-Jerantut berhampiran Kampung Kerambit, dekat sini, malam kelmarin
Lebih memilukan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Temerloh untuk menziarah seorang saudara yang meninggal dunia.
Kejadian kira-kira jam 11 malam itu turut mengorbankan isteri Yunus yang juga ibu tiri Natirah, Rosnani Che Bidin, 35, serta abangnya, Li, 47, manakala seorang lagi abang Natirah, Nazri, 36, serta seorang saudara mereka, Ahmad Yusof Khamis, 53, cedera apabila Proton Iswara dinaiki bertembung sebuah lori balak tanpa muatan ketika hujan lebat.
Ahmad Yusof dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAH), Temerloh.
Difahamkan, ketika kejadian, kereta dipandu Li gagal mengelak lori berkenaan yang terbabas ke laluan bertentangan ketika melalui selekoh tajam di tempat kejadian sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu.
Natirah, seorang suri rumah berkata, dia menerima berita kemalangan ngeri itu kira-kira jam 11.30 malam selepas dimaklumkan suami, Mat Zakri Jawa, 46.
“Kira-kira jam 9.45 malam, suami ada menelefon arwah ayah bagi mengetahui lokasi mereka kerana saya sekeluarga dari Maran sudah tiba ke rumah saudara yang meninggal dunia.
“Dalam perbualan telefon itu, suami sempat berpesan kepada arwah abang supaya memandu dengan cermat kerana hujan lebat.
“Bagaimanapun, kurang dua jam kemudian, suami menerima berita buruk daripada seorang sepupu memaklumkan semua mereka terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian bapa dan ibu tirinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pelik kecuali abang yang meninggal dunia ada menyatakan hasrat mahu membiayai persekolahan seorang anaknya yang belajar dalam tingkatan enam.
“Dua hari lalu, arwah Li ada menelefon saya dan memberitahu mahu membantu menanggung persekolahan anak saya yang dianggap seperti anak sendiri kerana arwah belum berumah tangga.
“Hasratnya itu dinyatakan berulang-kali dan saya bersetuju kerana sekurang-kurangnya bantuan itu dapat mengurangkan beban saya, tetapi tidak kesampaian selepas arwah terbunuh dalam kejadian itu.
“Bagaimanapun, saya reda dan berdoa semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata sebaik melalui tempat kejadian, sebuah lori balak tanpa muatan yang dalam perjalanan dari Jerantut ke Lipis dipercayai terbabas ketika mengambil selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu Li merempuh bahagian tengah lori berkenaan lalu terperosok di bawahnya menyebabkan semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Li dan dua penumpang belakang, Yunus dan Rosnani meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang belakang, Ahmad Yusof parah.
“Bagaimanapun, Nazri yang duduk di sebelah pemandu cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis (HKL),” katanya.
Menurutnya, pemandu lori terbabit berusia 39 tahun sudah membuat laporan dan ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian dan jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Teris,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI