Posted on Sunday, November 15 @ 16:32:19 PST by TokPenghulu
Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
Isu pendakwaan terhadap Dr Asri bukanlah perkara aneh atau pelik. Bahkan PAS konsisten membantah tindakan tersebut. Cuma yang anehnya ialah kenapa UMNO bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri, sedangkan sepatutnya kita kena konsisten terhadap kes, bukan siapa yang terlibat.
Isu larangan ceramah tanpa permit bukan perkara baru. Bahkan sebelum ini pun bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom pernah dihalang menyampaikan ceramah di Selangor.
Lagi pelik, beliau bekas Mufti Selangor, tak dibenarkan ceramah di Selangor. Begitu juga Dato' Dr Harun Din juga pernah dihalang, sedangkan ribuan pelajarnya di UKM menerima ilmu darinya, bahkan yang nak halang dia pun bekas anak muridnya. Begitu juga Dato' Ismail Kamus, Mufti Perak Dato' Harussani juga dihalang menyampaikan kuliah di beberapa negeri.
Apakah istimewa Dr Asri berbanding tokoh lain? Bagi saya isunya bukan Dr Asri, sebenarnya isu yang besar adalah bagaimana untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Kerana itulah media membesar-besarkan isu ini.
Saya sangat tidak bersetuju bila mana tokoh agama dilarang menyampaikan kuliah dan ceramah atas alasan tiada tauliah. Kita telah kenal ilmunya dan kemahiran yang ada, tetapi itulah hakikat yang sedang berjalan. Sebenarnya tindakan JAIS itu betul dengan peraturan, yang sepatutnya kalau dilihat dari sudut penceramah yang menyampaikan ceramah tanpa tauliah, memang melanggari peraturan dan JAIS mengambil tindakan tepat pada kesalahan tersebut. Yang pelik bukan tindakan JAIS, tetapi tindakan pemimpin UMNO membela mereka yang bersalah mengikut undang-undang Jababan Agama Islam Selangor. Jawapannya bukan kerana Dr Asri, tetapi kerana ia berlaku di negeri Selangor. Sebagai perbandingan kalau ia berlaku kepada Dr Harun Din, dan tangkapan dibuat pula di negeri Johor, saya yakin kenyataan dari pemimpin UMNO akan berubah bentuk. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan.
Sekali lagi saya nyatakan bahawa jabatan-jabatan agama setiap negeri harus bezakan antara tokoh agama yang mempunyai ijazah dalam bidang agama, dan diiktiraf oleh masyarakat. Takkanlah mereka ini pun perlukan tauliah juga. Kena tengoklah siapa mereka, bukan tengok di negeri mana mereka berceramah sahaja. Kerana itu, pimpinan PAS kita konsisten menentang keperluan tauliah bagi golongan yang memang diketahui keilmuannya, diiktiraf oleh masyarakat dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama untuk menyampaikan ilmu agamanya di mana sahaja.
.....
http://tuanibrahim.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI