LENGGONG, 14 Nov: Banjir yang melanda lebih 400 rumah termasuk masjid, surau, sekolah agama rakyat, dewan serbaguna, dewan Tabika Kemas, dewan orang ramai premis kedai dan lain-lain di taman dan beberapa kampung dekat sini mendapat perhatian PAS Perak. Sebanyak 30 mangsa banjir di beberapa kampung di sini yang dianggap paling layak menerima bantuan, diberi sumbangan berupa beras dan barangan dapur ala kadar oleh Pesuruh Jaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain sehari selepas banjir besar baru-baru ini.
Ustaz Abu Bakar yang datang bersama Setiausaha Politik Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Ustaz Misbahul Munir Masduki turut membuat penyerahan sukarelawan daripada Unit Amal (UA) dan pemuda-pemuda PAS tempatan yang ditugaskan untuk membersih rumah-rumah mangsa banjir. (Gambar: Ustaz Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Lenggong)
Kehadiran mereka berdua yang sampai jam 10.45 pagi disambut oleh Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria serta AJK PAS Kawasan. AJK Dewan Pemuda PAS Lenggong dan anggota-anggota UA di Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) Kota Tampan Air. Sebelum itu YDP PAS Lenggong, Razman Zakaria seawal jam 3 pagi melawat rumah-rumah mangsa di Taman Kota Tampan (TKT) dekat sini. Beliau yang bersimpati dengan nasib dialami 72 keluarga dari lapan blok rumah awam di TKT itu sanggup mengharungi air bersama mangsa untuk melihat lebih dekat derita penduduk.
Beliau sempat berbual dengan seorang ketua keluarga di TKT, Ghazali Abdullah, 62, yang tinggal di dalam rumahnya bersama isteri dan seorang cucu, di mana sejak 19 tahun tinggal di situ itu pertama kali dilanda banjir lumpur.
(Gambar: Razman melawat mangsa banjir) Ghazali, ketika ditemui, berkata kerana tidak menyangka sama sekali banjir akan berlaku sebesar itu, dia dan isterinya tidak sempat berbuat apa-apa menyebabkan banyak barangan berharga di dalam rumah mengalami kerosakan.
"Peti ais, mesin basuh, sofa, karpet, tikar, almari, katil, tilam dan lain-lain rosak tidak sempat diselamatkan apabila air naik dengan deras hingga separas hampir semeter di dalam rumah," katanya.
Ghazali berkata, akibat pelbagai barangan di dalam rumahnya rosak, dia mengalami kerugian kira-kira RM5,000, manakala malam kedua berlaku lagi banjir barangan-barang sama tidak dapat diselamatkan juga,' katanya.
Selain rumah Ghazali, Razman sempat melawat mangsa-mangsa lain, termasuk masyarakat Cina dan India yang turut menjadi mangsa banjir lumpur malam partama itu.
Sementara itu, banjir lumpur dua malam berturut-turut itu adalah akibat limpahan air Sungai Kerok selepas hujan lebih enam jam pada malam pertama dan lima jam malam kedua.
Banjir yang berlaku mulai jam 12.30 malam hingga jam 8 pagi itu turut dialami lebih 30 keluarga di Kampung Banggol Batu, lebih 30 keluarga di Kampung Banggol Belimbing dan lebih 20 keluarga di Kampung Chain dan Batu Dinding.
Premis-Premis lain yang turut ditenggelami air berlumpur kuning ialah Masjid Banggol Batu, Dewan Tabika Kemas Banggol Batu dan Dewan Orang Ramai Banggol Batu.
Di TKT, dua bangunan Sekolah Agama Rakyat turut ditenggelami air menyebabkan berlaku kerosakan ke atas beratus-ratus buku teks selain al-Quran, kitab, malah set komputer turut rosak dimasuki air lumpur.
Turut di landa banjir di TKT ialah Dewan Serbaguna TKT, Surau TKT dan lima buah kedai, manakala berpuluh kereta dan motorsikal turut ditenggelami air. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI