Posted on Sunday, November 15 @ 20:23:04 PST by TokPenghulu
Oleh Khalid Samad
Pada 8 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, tentera-tentera Islam di bawah pimpinan Tariq Ibn Ziyad telah mendarat di bumi Sepanyol selepas merentasi lautan Mediterranean. Sebaik sahaja mendarat, Tariq mengarahkan supaya kapal-kapal tentera Islam ini dibakar. Beliau melakukan ini dengan tujuan supaya tentera-tenteranya menyedari bahawa mereka tiada pilihan lain selain dari meneruskan perjuangan, samada gugur atau mencapai kemenangan.
Bagi yang tidak faham, tindakan Tariq Ibn Ziyad merupakan tindakan yang tidak bertanggung jawab, mencampakkan nyawa tentera-tenteranya dalam bahaya, kejam dan zalim! Bagi yang tidak berilmu, mereka akan pantas menyatakan tindakan itu adalah haram kerana cuba membunuh diri!
Dari sudut strategi peperangan ianya menzahirkan satu tekad yang teramat tinggi agar berjuang berhabis-habisan agar mencapai kemenangan. Tindakan membakar kapal-kapal ini adalah bertujuan untuk menghalang tentera Islam dari memikirkan pilihan untuk berpatah balik, berundur dan lari dari pertempuran. Melarikan diri dari pertempuran merupakan satu tindakan yang jauh lebih besar dan jelas haramnya! Dengan membakar kapal-kapal ini Tariq menjadikan persoalan berpatah balik sesuatu yang tidak mungkin kerana yang ingin berpatah balik akan terpaksa berenang merentasi Lautan Mediterranean.
Oleh yang demikian, lafaz cerai taklik dalam soal menjadi calon adalah bagi saya dan isteri seperti ibarat tindakan Tariq Ibn Ziyad. Sepertimana tindakan Tariq membakar kapal-kapal dengan bertujuan menghalang berlakunya kemungkinan untuk lari dari medan pertempuran, lafaz taklik bertujuan menghalang berlakunya lompatan khianat dalam politik. Sekiranya ingin melompat, akan jatuh talak tiga dan ini seolah menyerupai tindakan memilih untuk berenang merentasi Lautan Mediterranean. Sesuatu yang tidak dapat digambarkan kepayahannya, apatah lagi melakukannya.
Ya, sememangnya talak tiga merupakan satu tindakan yang menggerunkan dan itulah yang diinginkan! Ia bertujuan merupakan benteng penghalang supaya menyelamatkan calon tersebut dari melakukan perbuatan haram yang jauh lebih besar, iaitu khianat dan derhaka keatas perjuangan dan janjinya. Lebih-lebih lagi apabila perjuangan itu merupakan perjuangan yang berlandaskan Islam, atau adakah yang masih mempertikai dasar perjuangan PAS? Kalau ada, semestinya dia tidak layak menjadi calon dan dengan itu akan sendirinya terlepas dari persoalan ini.
Ada juga yang berkata bahawa tindakan seperti ini menzalimi isteri. Namun ia hanya menjadi zalim sekiranya calon itu khianat dan berpaling tadah! Sekiranya calon tersebut istiqomah di dalam perjuangan, tiada kezaliman yang berlaku.
Manusia yang sanggup melompat dan dengan itu menzalimi bukan sahaja partinya dan rakyat yang telah menyerahkan amanah kepadanya, tetapi sekaligus isteri kesayangnya melalui talak tiga ini, manusia sebegini sememangnya layak dilaknat Allah, para Malaikat dan seluruh yang melaknat. Masyarakat seluruhnya akan melihat betapa khianatnya manusia ini, demi jawatan, pangkat dan wang sogokan. Dengan itu, sudah pasti dia akan dikutuk kerana sifat khianatnya yang begitu terserlah melalui kesanggupan mencerai talak tiga isterinya demi semua itu.
Begitu juga terhadap mereka yang mendorongnya kearah tindakan khianat ini. Melalui sogokan dan pujukan, menyeru supaya dia melompat, mereka ini turut layak dilaknat. Sedangkan pada ketika itu, rakan seperjuangannya akan berusaha untuk memujuknya supaya tidak mengkhianati amanah yang diberikan. Ini termasuklah isterinya yang pada ketika itu dan ketika itu sahaja akan menangis menggeletar mengigil, merayu supaya suaminya tidak melompat.
Inilah sebenarnya tujuan di sebalik lafaz itu. Ianya bukan sebahagian dari bai’ah. Tujuannya supaya yang dilantik menjadi calon tidak mengkhianati perjuangan yang telah didokong bersama. Kalau dilafaznya “jika melompat akan aku belikan isteriku gelang emas separas lengan”, sudah pasti ia bukan penghalang kepada tindakan melompat. Isterinya pula mungkin akan gembira sekiranya dia ini melompat dan bukan itu sahaja, malah akan menggalakkannya! Inilah sebenarnya kehendak UMNO. Kalau lafaz sebegini sudah pasti mereka sokong. Sebarang usaha untuk menutup peluang untuk membeli wakil rakyat parti lawan akan mereka tentang habis-habisan.
Amalan rasuah membeli calon yang menyebabkan perlunya bai’ah dan lafaz sebegini langsung tidak diambil peduli. Sedangkan ianya jelas bukan sekadar andaian tetapi telahpun berlaku di Perak dan baru-baru ini di Selangor. Kutukan terhadap bai’ah dan lafaz taklik bagaikan kutukan terhadap yang memasang grill di rumahnya, sedangkan pencuri berkeliaran di luar. Itulah Malaysia di bawah UMNO.
Malah lebih teruk lagi, terdapat pula golongan yang tidak hadir tetapi membawa cerita seolah-olahnya dia hadir dan tahu selok-belok perkara ini. Inilah sebenarnya tukang karut par excellence. Dia turut membawa hujjah “senanglah Khalid kahwin bini baru”. Hujjah jahil dari seorang yang berfikiran dayus. Kalau ingin menceraikan isteri sekalipun, tidak perlulah berselindung disebalik parti dan bai’ah. Tidak perlu menyalahkan orang lain. Kata-kata seperti ini lebih mendedahkan perwatakan dirinya sendiri, bukannya saya.
Ada pula yang bertanya, “mengapa Khalid membincang persoalan ini?” Sebenarnya ianya telah pun dibincang dan diketahui oleh ramai pihak lain terlebih dahulu. Saya berpendapat lebih baik perkara ini dijelaskan sekarang, bukan tiga hari sebelum hari mengundi. Ini kerana keyakinan saya kepada apa yang telah saya lakukan adalah berlandaskan keperluan semasa dan tidak merupakan satu kesalahan.
Namun sekiranya pimpinan PAS menganggap ianya tidak perlu, saya akan akur walaupun pada saya dan isteri, kelebihan amalan ini amat jelas sama sekali. Pada masa yang sama, saya amat bersyukur kerana telah dikurniakan Allah seorang isteri yang memahami erti perjuangan yang telah bersama saya selama lebih 30 tahun ini.
Dalam pada itu terdapat juga yang berkata, mengapa perlu mengheret isteri dalam soal politik melalui lafaz taklik? Jelas, yang berkata sedemikian rupa tidak pernah meneliti ayat mubahalah di mana bukan sahaja isteri tetapi seluruh kaum keluarga telah diheret demi menegakkan kebenaran hujjah Rasulullah (SAW) di dalam ayat 61 Surah Al-Imran yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang membantah kamu berhubung dengannya (Nabi Isa A.S.) setelah datang kepada kamu ilmu, katakanlah: Mari kita panggil anak-anak lelaki kami dan anak-anak lelaki kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu dan kemudian itu kita doa bersungguh-sungguh memohon semoga Allah melaknat golongan yang berdusta.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI