SHAH ALAM, 18 Nov: Seramai 651 anak Kariah masjid dan surau Parlimen Shah Alam memberi sokongan bahawa khutbah yang telah disampaikan oleh ahli Parlimen mereka, Khalid Samad adalah mantap. Kesemua 651 anak kariah itu menandatangani satu memorandum bagi membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menarik balik tauliah yang diberikan kepada Khalid sebelum ini.
Alasan yang diberikan Jais adalah kerana khutbah yang disampaikan Khalid tidak mantap.
Memorandum ini diserahkan wakil mereka Mohd Jamil bin Abd Rahim yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Shah kepada Haji Izham bin Hashim, ahli Majlis Bandaraya Shah Alam untuk diserahkan kepada Jais.
"Menurut pemerhatian kami yang pernah mengikuti ceramah, kuliah, seminar, tazkirah dan khutbah yang disampaikan oleh YB Hj Khalid Bin Abd Samad, kami dapati penyampaiannya amat mantap, jelas dan bertepatan dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis," tulis memorandum yang ditandatangani mereka itu.
Memorandum itu juga berbunyia, "Kami Ahli Kariah Masjid/Surau Parlimen Shah Alam dengan ini membantah tindakan Pengarah Jais menarik balik tauliah sementara ke atas YB Hj Khalid Bin Abd Samad dengan alasan khutbahnya tidak mantap."
"Oleh itu kami berharap pihak Jais yang bertanggungjawab terhadap Institusi Agama di negeri Selangor tidak menjadi batu penghalang kepada usaha dan kerja-kerja dakwah."
Sehubungan dengan itu, mereka meminta agar urusan memberi tauliah di negeri Selangor dipermudahkan dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak demi perkembangan dakwah Islam di negeri yang tercinta ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI