Posted on Sunday, November 15 @ 16:27:09 PST by TokPenghulu
Oleh Zulkifli Noordin
Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan PAS yang telah mengambil tindakan segera menangani isu bai'ah talaq 3 yang didedahkan oleh YB Abdul Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam baru-baru ini.
Adalah jelas setelah siasatan dibuat atas arahan Tuan Guru Presiden PAS, Setiausaha Agong PAS telah melakukan siasatan dan mendapati memang ujud bai'ah talaq 3 ini. Namun beliau menegaskan bahawa bai'ah talaq tiga bukan 'amalan PAS dan tidak direstui pimpinan PAS (untuk berita lanjut sila lihat kenyataan dibawah).
Saya faham dan sedar bahawa bai'ah adalah sesuatu yang sangat penting khususnya bagi mana-mana haraki Islamiyah. Ia adalah pengikat kekuatan jema'ah.
Malah saya sendiri pernah berbai'ah iaitu pada tahun 1999 (PRU 10) dihadapan Presiden PAS Almarhum Dato' Fadil Noor dan tahun 2004 (PRU 11) dihadapan Pesuruhjaya PAS Selangor masa itu YB Datuk Hasan Ali.
Apa yang menjadi pertikaian ialah bai'ah dengan meletakkan perkahwinan sebagai bahan gadaian dan sandaran. Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan syara' dan meletakkan Islam dalam keadaan yang sangat negatif. Memang keta'atan melalui bai'ah adalah sunnah. Tetapi mendapatkan keta'atan dengan cara yang bertentangan syara' adalah tidak wajar. Matlamat tidak menghalalkan cara. Biarpun matlamat bai'ah itu sunnah, cara mendapatkannya dengan menggadaikan perkahwinan dengan ta'lik talaq 3 ba'in kubro adalah satu maksiat kepada ALLAH dan tidak wajar sama sekali.
Ingatlah pesan seorang Khalifah Agong r.a kepada tentera Islam yang turun untuk menentang tentera Parsi yang besar, "kekuatan kamu bukan kerana kamu bangsa 'arab, tetapi kerana Islam. Peliharalah Islam dan jangan kamu bermaksiat kepada ALLAH. Nescaya ALLAH akan meletakkan kamu ditempat yang mulia".
Saya yakin mereka yang mengamalkan bai'ah talaq 3 tersebut mempunyai niat yang suci dan baik. Saya yakin mereka menyintai parti PAS sebagaimana saya juga menyintai perjuangan Islam. Mungkin dalam keghairahan mereka menterjemahkan rasa cinta sayang kepada PAS itu mereka bertindak sebagaimana yang telah mereka lakukan. Moga ALLAH memberikan keampunan dan anugerah kebaikan bagi mereka.
Wassalam.
Ahad
27 Zulqaedah 1430
15 Nov 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI