Baham anak sendiri
Rashid terima balasan kerana merogol anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.
|
|
KISAH haruan makan anak sememangnya mudah mengundang kebencian orang yang mendengarnya. Tentulah sukar diterima apabila si bapa yang sepatutnya bersifat pelindung sanggup menjadikan anak perempuannya yang masih kecil sebagai pemuas nafsu.
Namun itulah yang dilakukan seorang bapa bernama Rashid, 40. Lelaki yang berasal dari Puchong, Selangor ini kini menjalani hukuman penjara selama 18 tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan merogol anak perempuannya sendiri yang ketika itu berumur tujuh tahun.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau ialah penjara selama 36 tahun tetapi diringankan kepada 18 tahun selepas dia membuat rayuan.
Rashid tidak lagi dapat melihat dunia luar selepas ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sejak Januari 2005. Sekarang, Rashid masih ingin merayu untuk meringankan lagi hukuman tersebut.
Selain merogol anak sendiri, dia pernah juga melakukan dosa-dosa lain.
"Sebelum ini memang saya banyak buat silap dalam hidup. Saya lupakan Allah dan banyak melakukan perkara terlarang seperti minum arak dan main perempuan," katanya yang mempunyai dua orang anak perempuan.
Kerana kejadian itu, Rashid bercerai dengan isterinya. Perkahwinan yang dibina lebih 10 tahun musnah begitu sahaja selain hak penjagaan kedua-dua anaknya juga diserahkan kepada bekas isterinya.
"Disebabkan peristiwa itu juga, bekas isteri saya tidak pernah membawa anak-anak berjumpa saya di penjara walaupun semasa hari raya bertanyakan khabar melalui surat juga jauh sekali.
"Cuma ibu dan bapa yang terus menjadi pendorong saya. Mungkin bekas isteri marah dengan saya tetapi anak-anak itu juga zuriat semasa kami hidup bersama.
"Usia semakin lanjut. Jika ingin membina kehidupan semula pada usia lanjut mungkin agak sukar bagi saya," katanya kesal.
Bahana hidup mewah
Rashid mengakui kehidupannya sebelum ini dilimpahi kemewahan. Maklumlah dia seorang ahli perniagaan berjaya dalam industri hiburan dan perumahan. Namun dengan satu kesilapan, beliau menyesal seumur hidup.
Kekayaan itu juga membuatkan dirinya alpa.
"Saya suka pergi ke kelab malam, minum arak dan main perempuan. Kebanyakan masa dihabiskan dengan aktiviti seperti itu sehingga isteri saya mula tidak menyenangi sikap saya.
"Saya juga kurang memberi perhatian kepada anak-anak dan isteri. Fikir saya dengan kemewahan yang diberi telah mencukupi untuk membahagiakan mereka.
"Mungkin juga hukuman ini menjadi penebus kesilapan lalu yang saya pernah lakukan," katanya.
Kehidupan di dalam penjara sememangnya jauh berbeza daripada tinggal di kediaman mewah atau memandu kereta mahal. Pada hari pertama dihumban ke penjara, Rashid mengaku tidak boleh tidur.
"Macam-macam perkara bermain di fikiran, apa bakal terjadi pada saya.
"Dahulu saya pakai baju berjenama serta berkereta mewah untuk ke lokasi yang diingini tetapi kini pakaian, makanan serta kehidupan dilalui adalah sama setiap hari.
"Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan penghuni penjara yang lain di samping mengikuti pelbagai peraturan serta disiplin yang ketat. Jika difikir selalu, boleh jadi gila," katanya.
Perit tinggal di penjara
Setelah agak lama begitu, barulah Rashid dapat membiasakan diri. Menurutnya, prinsip utama yang dipegang ialah 'orang tak kacau aku dan aku pun tak kacau orang lain'. Kini dia dapat membiasakan diri dengan baik.
"Di dalam ini (penjara) terdapat pelbagai jenis banduan dengan latar belakang jenayah seperti mengedar dadah, membunuh, memberi rasuah dan pelbagai jenayah lain.
"Jika kita pandai bergaul tiada masalah akan terjadi. Lagipun pihak warden penjara sentiasa memantau keselamatan banduan dengan baik," katanya.
Rashid mengakui kehidupan di penjara mengajarnya supaya lebih berdisiplin dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Bangun solat Subuh adalah satu perkara yang amat liat dilakukan dahulu. Solat berjemaah di sini mengajar saya erti disiplin.
"Tekad saya apabila keluar nanti, saya akan menjadi bapa yang bertanggungjawab. Saya juga mahu menceritakan pada orang lain supaya jangan sesekali terbabit dengan jenayah kerana hukumannya begitu menekan jiwa
"Saya akan memastikan anak-anak mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang secukupnya supaya hidup mereka dihormati orang lain.
"Perit hidup di penjara. Jika di luar kita mungkin juara tetapi di penjara tiada yang membezakan, cuma tempoh tahanan dihadapi. Malah ada banduan yang terkurung sampai mati selain digantung di sini," ujar Rashid jujur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI