Idris terus pertikai Sultan |
Abdul Halim Mohd Rashid Tue | Mar 25, 08 | 5:34:40 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Sambil menyatakan beliau sekali lagi memohon keampunan daripada Sultan Terengganu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh terus mempertikaikan pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar yang baru dengan sokongan istana. Ketika ditanya dalam sidang akhbarnya di sebuah hotel di Subang petang ini mengenai laporan bahawa 13 daripada 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sebelum ini menyokongnya telah beralih menyokong Ahmad, Malaysiakini melaporkan Idris berkata setahunya, kesemua 22 Adun itu ada bersamanya semalam. Ditanya berapa orang Adun yang hadir bersamanya dalam sidang akhbar tadi, Idris berkata: "Sebahagian besar ada bersama saya dalam sidang media ini, kecuali seorang dua yang kembali ke Terengganu atas urusan keluarga." Sebelum sidang akhbar itu diadakan, Malaysiakini difahamkan mereka menghadiri majlis menyambut hari jadi Adun Besut di sebuah kelab di Subang. Mengenai permohonan ampunnya itu, Idris tidak menerangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Sebuah akhbar harian pula melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu berkata, hubungan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah baik dan beliau tidak tahu apa kesalahannya terhadap Sultan Terengganu itu. Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, Ahmad yang memulakan tugas sebagai Menteri Besar yang baru hari ini, berkata beliau akan melantik barisan exco kerajaan negeri di kalangan 23 lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN). "Sudah tentu (saya akan pilih mereka sebagai exco kerajaan negeri kerana), mereka telah dipilih oleh rakyat," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Ditanya mengenai ketiadaan sokongan daripada semua wakil rakyat BN terhadapnya, Ahmad berkata beliau percaya sebahagian mereka menyokongnya. Katanya wakil rakyat yang dipilih sebagai exco kerajaan negeri ini akan mengangkat sumpah pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. Beliau juga menjelaskan bahawa barisan exco itu bakal menyaksikan perubahan besar dengan kemasukan muka-muka baru. "Biasalah, bila keadaan baru, ada yang kekal, ada yang baru," katanya |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI