TAWAU: Pejabat Tanah dan Ukur diminta mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan Sekolah Agama Islamiah Tawau yang baru bagi mengatasi masalah kesesakan dan ketidakselesaan pelajar di sekolah berkenaan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata tapak baru itu diperlukan memandangkan tapak sedia ada tidak lagi selesa, sempit dan tidak boleh diperbesarkan kerana ruang yang terhad.
“Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pihak Majlis Perbandaran Tawau dan Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah perlu berunding mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat berhubung sekolah agama berkenaan oleh pe-ngerusi Lembaga Pentadbir Sekolah Islamiah Tawau Mohd Kamil Mohd Kassim di sini kelmarin.
Sekolah Islamiah yang dirasmikan pada 29 April 1970, memulakan pengambilan pelajar rendah pada tahun yang sama dan muncul sebagai sekolah menengah agama Islam pertama di Sabah apabila memperkenalkan pendidikan agama peringkat menengah pada 1971.
Pada tahun 1972, sekolah berkenaan membuka kelas tadika dan menjadikannya sekolah yang memulakan tadika Islam di Sabah.
Pada masa ini Sekolah Islamiah Tawau mempunyai 170 murid tadika dengan membuka enam kelas, 668 murid peringkat rendah (20 kelas) dan 175 pelajar peringkat menengah.
Pada tahun 2004, Sekolah Menengah Islamiah Tawau telah mendapat status Sekolah Bantuan Kerajaan. Sekolah Islamiah Tawau masih memerlukan 11 guru sekolah dan lima guru tadika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI