Drebar tak sedar bas terbakar
HANGUS...bas persiaran yang hangus dalam kebakaran, pagi semalam. |
TELUK INTAN: “Sepanjang 25 tahun menjadi pemandu bas, ini pengalaman paling mengerikan pernah saya hadapi dan bersyukur selamat. Ia juga pengalaman pertama bas dipandu terbakar. Nasib baik penumpang tiada dalam bas ketika kebakaran itu,” kata pemandu bas, Baharom Md Taib.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi semalam, bas persiaran yang dipandu Baharom secara tiba-tiba berasap di bahagian enjin sebelum terbakar ketika melalui Kilometer 8, Jalan Maharaja Lela di sini.
Baharom yang berasal dari Hutan Melintang, dekat sini, masih terkejut dengan kejadian itu terutama apabila mengenangkan api yang marak dengan begitu cepat.
“Saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang penunggang motosikal kerana mengesan asap keluar daripada enjin bas yang saya pandu sebelum memaklumkan kepada saya,” katanya ketika ditemui.
Katanya, ketika kejadian dia sedang memandu bas milik syarikat Aulia Travels menuju ke Teluk Intan untuk melakukan kerja penyelenggaraan sebelum kenderaan itu terbakar berdekatan kilang kelapa sawit Ladang Nova Scotia.
Baharom berkata, sebaik dimaklumkan penunggang motosikal mengenai enjin basnya berasap, dia terus memberhentikan kenderaan itu dan bergegas keluar untuk menyelamatkan diri sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A Ravi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.28 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dengan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian, tetapi sebaik pasukan itu tiba bas berkenaan sudah hangus terbakar kira-kira 70 peratus.
“Kami mengambil masa 15 minit memadamkan kebakaran itu.
“Kami masih menyiasat punca kebakaran bas itu. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI