Sumber ASAL
on Thursday, May 7, 2009Sambungan...
Bapa bertanya siapa yang mengetuk dan dia diberitahu mereka askar Israel yang mahu menggeledah rumah kami. Bapa membuka pintu dan kami melihat 13 orang lelaki bersenjata di luar pintu rumah kami. Beberapa orang berdiri di luar pintu, sebilangan lagi pergi ke bumbung manakala yang lainnya mengelilingi rumah kami untuk menakut-nakutkan kami. Saya berdiri di sebelah bapa bersama-sama adik perempuan saya, manakala yang lain berdiri di sebelah ibu dan jiran kami. Bapa saya menyambut askar Israel itu dan menyuruh mereka duduk.
Salah seorang daripada mereka berkata mereka mahu mengambil segala apa yang ada. Saya menyahut, menanyakan kenapa dia mahu mengambil segala-galanya selepas mengambil barang yang paling berharga, iaitu tanah air kami. Saya berkata kepadanya, "Kenapa kamu nak ambil banyak lagi?" Jawabnya, "Kamu tengok apa lagi yang akan aku ambil. Aku akan mengambil kamu dan adik perempuan kamu." Bapa merayu kepadanya untuk mengambil segala-gala kecuali anak-anaknya. Bapa ditumbuk di mukanya dan dia mula berdarah. Saya tidak dapat mengawal diri saya daripada memekik di depan muka askar-askar itu, menanyakan mengapa mereka sanggup memukul seorang lelaki tua. Saya dipukul dan ditolak dengan kasar ke tanah. Apabila saya terasa sakit, saya memukul balik askar itu.
Mereka merampas wang kami - 40 000 paun Lubnan – dan semua cincin kami, bahkan cincin perkahwinan bapa. Salah seorang daripada mereka berteriak dan memberikan arahan supaya kami dibawa masuk ke dalam bilik. Dia mengarahkan kami untuk berdiri dekat dinding dengan tangan kami diangkat di atas kepala, dan membelakangi mereka.Mereka memerintahkan kami jangan melihat ke belakang. Adik perempuan saya Shadia yang berusia satu setengah tahun mengangkat tangannya sambil memanggil ibu kerana dia ketakutan.
Mereka mula menembak kami. Adik bongsu saya - seorang bayi - ditembak di kepala dan otaknya memercik ke atas kami. Bapa ditembak di jantungnya tetapi dia masih bernyawa. Adik lelaki saya Shadi, 3 tahun, Farid, 8, Bassam, 11, dan adik perempuan saya, Hajar, 7 dan Shadia serta jiran kami mati serta-merta. Adik lelaki saya Maher, 12, dan Ismail, 9, terselamat kerana mereka menyorok di dalam bilik air. Ibu dan adik perempuan saya, Nuhad, 16, tercedera tetapi tidak meninggal. Manakala saya pula, lumpuh serta-merta dan tidak dapat bergerak. Askar-askar itu berfikir kami semua sudah mati, lalu mereka meninggalkan rumah kami.
Saya mula menjerit-jerit bertanyakan siapa yang masih hidup. Ibu, seorang adik perempuan dan dua adik lelaki saya di dalam bilik air menjawab. Kemudian bapa menyahut, tetapi dia cedera parah. Saya menyuruh mereka melarikan diri dan menghantar seseorang untuk menyelamatkan saya dan bapa. Jadi mereka lari dan tinggallah saya dan bapa saya yang tercedera, dikelilingi ahli keluarga saya yang sudah menjadi mayat. Keadaan yang amat menggerunkan itu tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI