Kumpulan Mat Rempit samun dua guru
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 12 Mat Rempit yang menunggang enam motosikal bertindak ganas dengan mengepung sebelum menyamun dua guru yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah di Jalan SS17/1 Subang Jaya, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi, guru lelaki dan wanita berusia 22 tahun berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa selepas dikepung penjenayah terbabit.
Mereka terus merampas beg berisi komputer riba dan kamera digital milik guru berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM3,500.
Sumber polis berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sekolah sebelum dihampiri sekumpulan 12 remaja lelaki yang menunggang enam motosikal.
“Mangsa dan rakan wanitanya yang berusia 22 tahun mendakwa dikepung suspek yang berusia sekitar awal 20-an itu tanpa diketahui puncanya.
“Seorang daripada mereka menolak guru wanita berkenaan hingga tersembam,” katanya.
Menurutnya, suspek cuba meragut rantai leher dan beg tangan milik guru wanita itu dan pada masa sama guru lelaki berkenaan cuba membantu.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang Mat Rempit merampas beg bimbit milik mangsa yang mengandungi komputer riba dan kamera digital sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang tidak cedera membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.
“Difahamkan mangsa gagal mengecam wajah suspek dan nombor pendaftaran motosikal digunakan Mat Rempit terbabit berikutan keadaan cuaca yang agak gelap ketika itu,” katanya.
Kejadian jenayah membabitkan Mat Rempit adalah antara kes terbaru dilaporkan di seluruh negara selepas seorang wanita hamil koma dan maut selepas disyaki diragut golongan terbabit di Taman Air Hitam, Ayer Hitam, Johor, kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI