Sumber
SHAH ALAM: Seorang bomoh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan memasukkan beberapa kuntum bunga ke dalam kemaluan seorang wanita selain mencabulnya di sebuah rumah.
Suparman Sukardi, 40, yang masuk ke Malaysia pada 14 April lalu atas alasan untuk menghantar ubat tradisional membabitkan penyakit kencing manis dan darah tinggi bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas perbuatan itu.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Seri Serendah, Hulu Selangor terhadap mangsa berusia 24 tahun itu.
Bagi perbuatan itu, Suparman didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang membawa penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Suparman juga tidak mengaku bersalah melakukan perbuatan cabul terhadap wanita itu di tempat dan waktu sama.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim.
Hakim Zaman Mohd Noor tidak membenarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh adalah seorang warga asing selain masuk ke Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri dan menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang pembantu kedai cat dihadapkan atas dakwaan merogol seorang pelajar berusia 14 tahun tujuh bulan.
Tertuduh Muhamad Azrul Firdaus Mohd Ghani, 19, dari Kuantan, Pahang tidak mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bukit Sentosa, di sini, pada jam 10 malam, 15 Januari lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula dan membenarkan jaminan RM6,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI