Sumber
Penjualan krim pemutih kulit yang tidak terkawal di Senegal menyebabkan ramai wanita di negara itu berdepan dengan risiko kecacatan kulit akibat kesan negatif bahan hidrokuinon.
SELAMA 20 tahun, Diop tanpa jemu menyapu krim pencerah wajah sebelum tidur. Sapuan itu dilakukannya setiap malam dengan harapan dirinya kelihatan lebih putih. Dia terus melakukannya sehinggalah suatu hari tompok-tompok hitam mulai muncul di wajahnya kira-kira dua tahun lalu.
Wanita yang terlalu malu untuk mendedahkan nama penuhnya itu berkata, dia pernah diberitahu tentang potensi risiko negatif akibat sapuan krim tersebut. Namun, seperti kebanyakan wanita Senegal yang lain, dia memilih untuk tidak mengendahkan nasihat tersebut.
"Saya suka mencerahkan kulit saya kerana orang akan kata, anda lebih cantik dan putih," katanya yang berusia 50 tahun.
Krim pencerah kulit yang mengandungi steroid atau hidrokuinon itu telah dikritik pakar-pakar dermatologi kerana menjadi ancaman kesihatan. Namun, krim yang tidak pernah kehabisan stok di pasaran masyarakat Senegal itu terus menggoda pelanggan.
Berdasarkan kajian pada tahun 2003 oleh pakar dermatologi Perancis dan Senegal, penggunaan krim pencerah seperti itu telah tersebar luas di kalangan wanita negara Afrika. Dianggarkan antara 25 hingga 67 peratus wanita adalah pengguna setia produk tersebut.
Setelah dua dekad mengikuti amalan tersebut, Diop mengakui dia sukar untuk menghentikan tabiat tersebut, biarpun setelah tompok-tompok hitam mulai muncul.
"Untuk menghentikannya, saya terpaksa meminta tolong daripada rakan yang menyokong saya. Tanpanya, mungkin keadaan lebih sukar kerana saya begitu percayakan krim ini.
"Dia (rakan) menunjukkan sebuah majalah yang memaparkan gambar-gambar wanita yang menderita akibat kesan krim kecantikan tersebut. Apabila melihat gambar itu, saya tekad untuk menghentikannya," ujar Diop.
Krim tersebut sangat popular di Dakar, ibu negara Senegal. Di sebuah pasar terbuka Sandaga di bandar itu, penjual berkata, setiap hari mereka mampu menjual kesemua barangan krim kecantikan dengan nama seperti X-White dan Clear & White.
Paling murah, krim yang diimport dari Mali dan Ivory Coast, dijual pada harga AS$1 (RM3.50) sebotol tetapi bagi losen bermutu tinggi, ia boleh dijual pada harga AS$50 (RM174) sebotol.
Mounass, 21, berpakaian kemeja-t berwarna merah jambu dan berseluar ketat, berdiri sambil melihat bekalan krim pencerah terbaru yang dijual di pasaran.
Gadis itu biasanya menggunakan krim pencerah dua kali sehari dan setiap bulan, Mounass membelanjakan kira-kira AS$80 (RM279), lebih daripada pendapatan minimum rakyat Senegal untuk produk tersebut.
Semua itu dilakukan kerana lelaki Senegal lebih menggemari wanita yang berkulit cerah.
"Saya langsung tidak tahu bahawa ia boleh membahayakan kesihatan," katanya apabila ditanya mengenai risiko yang berpotensi dihadapinya. Dia dengan gembira meninggalkan pasar tersebut sambil membawa beberapa buah botol krim pemutih.
Ketika hampir kebanyakan label menunjukkan terdapat kandungan hidrokuinon sebanyak dua peratus dalam produk krim pencerah, penjual di Sandaga mengatakan, ia sebenarnya lebih daripada lima peratus.
Penggunaan hidrokuinon sudah lama diharamkan di negara Kesatuan Eropah sejak tahun 2001 sebagai karsinogenik berpotensi.
Masalah kesihatan umum
Para doktor pula mengatakan jualan krim kecantikan itu tidak dikawal sepenuhnya di Senegal.
Di pejabatnya yang terletak di Hospital Aristide Dantec, Dakar, pakar dermatologi, Suzanne Oumou Niang memberitahu bahawa penggunaan krim untuk mencerahkan kulit wajah di negara-negara Afrika Barat telah meningkat sejak lebih sedekad lalu.
"Krim ini dijual bebas, sedangkan mereka perlu mendapatkan persetujuan doktor sebelum menggunakannya. Pihak berkuasa seharusnya mengharamkan penjualan krim pencerah dan mendidik orang ramai mengenai bahaya menggunakannya," jelas Suzanne.
Pakar-pakar dermatologi menganggarkan 60 peratus daripada beberapa kes jangkitan bakteria pada kulit yang dirawatnya berkaitan dengan penggunaan krim pencerah.
"Ia telah menjadi masalah besar dalam kesihatan masyarakat umum. Wanita daripada pelbagai peringkat usia dan kelas masyarakat, menggunakan produk sedemikian kerana ia sesuai dengan bajet mereka," tambahnya.
Selain daripada jangkitan bakteria pada kulit seperti tompok hitam, produk itu juga berisiko menyebabkan keracunan dalam darah, penyakit darah tinggi dan diabetes.
Kajian pada tahun 2006 di unit bersalin Dakar Institute of Social Hygiene turut menunjukkan bahawa anak yang dilahirkan oleh ibu yang sering menggunakan krim mengandungi steroid, mempunyai berat badan lebih rendah berbanding kelahiran normal.
Sementara itu, Diop mengakui terkejut dengan kesan yang dialami setelah berjaya menghentikan tabiat pemakaian krim pencerah yang dilakukannya sejak dua dekad lalu.
"Semua orang mengatakan saya kelihatan lebih muda daripada suami. Kulit muka saya yang semula jadi telah kembali semula," ujarnya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI