Thaksin sembunyi 26 jam di KL - Pesawat peribadi bekas PM Thailand singgah isi minyak
|
|
|
|
KUALA LUMPUR - Thaksin Shinawatra yang menjadi buruan Thailand bersembunyi selama 26 jam di ibu negara sejak Sabtu lalu.
Satu sumber berkata, Thaksin bersama tiga hingga empat pengawal peribadinya dikatakan tiba di negara ini dengan sebuah pesawat peribadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dekat sini pukul 5 pagi Sabtu lalu.
Beliau dan konco-konconya kemudian terus ke Hotel Shangri-La di Jalan Sultan Ismail di sini.
Selepas 26 jam, Thaksin meninggalkan hotel tersebut pada pukul 8 pagi kelmarin dan dipercayai menyambung perjalanan menaiki pesawat sama ke negara ketiga dipercayai Fiji.
Ditanya mengenai tujuan kedatangan Thaksin ke ibu negara, sumber itu memberitahu, rombongan itu hanya singgah bagi tujuan mengisi minyak pesawat.
"Thaksin dan orangnya sebelum itu dikatakan terbang dari Dubai terus ke Kuala Lumpur.
"Selepas menempuh penerbangan jauh, pesawat itu kekurangan minyak dan perlu diisi semula bagi penerbangan ke sebuah negara ketiga," kata sumber itu semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, maklumat mengenai kedatangan bekas Perdana Menteri Thailand itu diterima pada pukul 12 tengah hari Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI