Posted on Friday, July 10 @ 20:00:00 PDT by AbuJihad
Oleh: anaqsabah
"
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Selamat Sejahtera!
KUNJUNGAN saya ke Pulau Tambisan pada 9 Mei 2009 (Sabtu) untuk menyampaikan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin di Dewan Serbaguna Pulau Tambisan mengajar saya erti politik dan fahaman sempit mereka yang telah merdeka tetapi minda mereka masih dijajah kerana terpenjara oleh semangat nasionalisme yang sempit.
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Selamat Sejahtera!
KUNJUNGAN saya ke Pulau Tambisan pada 9 Mei 2009 (Sabtu) untuk menyampaikan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin di Dewan Serbaguna Pulau Tambisan mengajar saya erti politik dan fahaman sempit mereka yang telah merdeka tetapi minda mereka masih dijajah kerana terpenjara oleh semangat nasionalisme yang sempit.
Saya tidak berniat langsung untuk menegur kecuaian kontraktor yang membina Surau Pulau Tambisan dengan menggunakan peruntukan Parlimen melalui cabutan secara automatik yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Negeri Sabah, tetapi saya kesal kerana pemantauan yang sifar menyebabkan berlakunya kepincangan yang ketara.
Memang sekilas pandang, tidak ada cacat celanya Surau Pulau Tambisan ini kerana ianya kelihatan cantik daripada luar, namun jika dibandingkan harga kontrak dan rungutan penduduk, saya bermunajat kepada Illahi agar mengampunkan mereka yang telah menghina rumah Allah sama ada secara sengaja atau tidak disebabkan kecuaian atau kelalaian semua pihak.
Walupun kos membaik pulih surau ini dikhabarkan lebih RM50,000, namun menurut seorang penduduk kampung, tidak ada sebarang pembaikan besar dilakukan melainkan hanya mengecat secara rambang dan tidak mengganti kerosakan tangga, rasuk, atap dan kayu yang reput sehingga menyebabkan wang rakyat dibazirkan begitu sahaja.
Saya tidaklah mahu menuduh kontraktor atau subkontraktor 'curi tulang atau culas' namun hanya ingin mengingatkan semua pihak bahawa adalah menjadi tugas kita untuk sentiasa melakukan 'amal makruf, nahil mungkar' sekalipun ia mungkin menyakiti hati semua pihak atau menyebabkan saya menjadi tidak popular.
Niat saya membuat teguran ini adalah ikhlas terutama apabila semua syarat pesanan kerja tidak dilaksanakan secara profesional terutama tidak ada papantanda projek sebagaimana yang disyaratkan, kerja sambil lewa, pendawaian elektrik yang langsung tidak dilakukan, malah cat di luar surau berdekatan mihrab juga tidak dilakukan langsung.
Namun ianya masih belum terlambat bagi kontraktor atau penyelia projek yang kelihatan amat ghairah untuk membelanjakan peruntukan sehingga terlupa untuk menitikberatkan mutu kerja dan pematuhan kepada semua syarat kontrak yang dianugerahkan kepada mereka.
Saya rasa, tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap lebih proaktif dan turun padang sebagaimana kehendak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak yang tidak jemu-jemu menyeru agar tidak menunggu menerima aduan baru mahu menjalankan siasatan.
Kegemaran saya turun padang atau 'walkabout' melakukan pemeriksaan mengejut bukan bermakna untuk mencari salah dan silap kontraktor atau pegawai kerajaan atau menganiaya seseorang, namun untuk memenuhi tanggung jawab dan amanah yang diberikan oleh para pengundi dan kerajaan Barisan Nasional yang mensasarkan program pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan pembasmian kemiskinan.
Sehubungan itu, adalah tidak wajar jika saya membiarkan perkara ini berlarutan kerana segala kepincangan dan kemungkaran yang berlaku di hadapan mata saya harus dibanteras oleh semua pihak yang sayangkan negara ini.
Amalan rasuah dan pilih kasih akan menyebabkan negara berada di kancah kehancuran terutama apabila tuntutan projek yang dilakukan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan terutama yang menggunakan wang cukai yang dipungut daripada keringat petani miskin yang diperah melalui pelbagai jenis cukai langsung dan tidak langsung untuk mengenyangkan tembolok pihak yang tidak amanah.
Jika kita hanya mengharapkan SPRM untuk menjalankan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat, maka natijahnya jika bala diturunkan kepada mereka yang mungkar dan menderhakai perintah Allah, ianya tidak dapat menyelamatkan kita semua daripada azab sengsara sebagai mana yang ditimpakan kepada rakyat Acheh dan Mexico.
Kita hanya mampu berdoa dan menghindarkan diri kita daripada bersubahat dengan sebarang perlakuan mungkar terutama apabila melibatkan penyelenggaraan rumah ibadat yang tidak sempurna dan pembangunan yang menyimpang daripada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, tugas saya adalah untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan secara saksama, ekonomik, efisien dan efektik selaras dengan dasar dan akauntabiliti kerajaan dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyelewengan.
Saya berharap melalui teguran ikhlas ini, mereka yang secara sengaja atau tidak sengaja melakukan kesalahan di bawah Akta Kontrak Kerajaan dan Akta Pencegahan Rasuah Malaysia dapat menebus kesilapan mereka sebelum pihak berkuasa menyiasat amalan keji mereka yang tidak bertanggung jawab melakukan penipuan untuk kepentingan diri mereka.
Dengan amanah yang diberikan kepada saya, pemeriksaan mengejut akan terus dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan parlimen Silam tanpa mengira waktu kerana tugas Ahli Parlimen tidak terhenti apabila menjelang malam atau tibanya pagi.
Saya memohon ampun dan maaf daripada mereka yang terkilan dengan teguran ini namun demi masa hadapan negara yang sedang bergelumang dengan krisis rasuah dan penyalahgunaan kuasa, saya tidak dapat bertolak ansur setelah agak lama mengambil sikap mendiamkan diri.
Bagi kawasan yang akan saya lawati, saya tidak akan membuat sebarang temu janji atau makluman awal. Sehubungan itu saya mohon agar kedatangan saya atau jemputan untuk saya tidak menyediakan sebarang cenderahati, bunga semat, bunga manggar dan makan minum kerana saya tidak mahu menyusahkan rakyat yang sedia susah dan menyalahgunakan peruntukan kerajaan secara membazir.
Semoga penduduk Silam dilimpahi rahmat Illahi kerana Silam adalah 'Bumi Anbia' yang suci lagi terpelihara!
Salam Hormat.
Haji Salleh Haji Kalbi
Ahli Parlimen Malaysia
P 188 Silam."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI