Nik Aziz banding Umno dengan Ayah Pin, al-Arqam | |||
|
"Tok Ayah Pin dicap sesat. Habis kenapa Umno tidak sesat? Sama-sama tidak kenal agama belaka. Al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya.
"Umno kenapa tidak sesat lagi? Salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak usah kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak, aku reti juga," katanya dalam ceramah di Chuchoh Puteri, Manek Urai malam tadi.
Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas perkataan "sesat" dalam surah al-Fatihah. Dalam surah tersebut, Allah berfirman, antaranya, memerintahkan manusia mengikut jalan yang lurus dan bukan jalan orang yang sesat.
Pada 25 Jun lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz yang didakwanya menyamakan parti Melayu itu dengan ajaran sesat dan komunis dalam sebuah ceramahnya.
Bercakap kepada media, Anuar juga dilaporkan menggesa Nik Aziz disiasat polis di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Bercakap di hadapan 2,000 penyokong dalam keadaan hujan renyai-renyai, Nik Aziz sekali lagi menggesa Umno menukar dasar kebangsaan yang didakwanya diamalkan parti itu, kepada dasar Islam.
Nik Aziz juga mendakwa Umno telah melepas geram kepadanya dengan menyifatkannya "nyanyuk" tetapi tidak memberikan hujah balasnya.
"Dia (Umno ) marah kita macam-macam perkara, Nik Aziz ini nyanyuklah. (Mereka) main kata. (Kata) nyanyuk. Itu bukan jawab, (itu) hendak pelepas geram, hendak pelepas geram orang kata...
"Lepas geram ni tak payah. Lepas geram ini tanda orang lemah. Macam bini tua dengan bini muda, (kena) tampar. Sebab dia tua, marah bini muda. Perangai orang tua nak balas, panas sangat dengan bini muda," katanya.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa turut hadir dan berucap dalam majlis ceramah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
SILA BERI KOMEN ANDA DISINI